Sekeras Kerikil, Selembut Sutera: Manisnya Dirasa, Pahit Tidak Terkata..


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt...

...Ya Allah kurniakanlah kami deen (cara hidup) yang betul, selamat dari segala bala bencana, kurniakanlah kami iman yang sebeanr-benarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap yang lain selain dari Engkau sendiri, kembangkanlah lembayung rahmatmu kepadaku, keluargaku, anak-anakkku, serta sesiapa sahaja bersama denganku....

Begitulah bait-bait doa yang mungkin selalu kita bacakan diwaktu lembaran hari yang baharu. Jendela itu disingkap lagi buat sekelian kalinya, memandang penuh kesyahduan pemergian malam yang sepi tanpa zikrullah sebagai seorang hamba illahi. Sekali lagi, air mata tidak dapat dibendung lagi, berjujuran menyaksikan kejahilan yang bersarang di jiwa buat sekalian lama, namun langkahan yang seakan-akan baru bermula harus juga terus dilangkahi bersama arus dunia yang seakan-akan menjadi kabus kehidupan hakiki dikemudian hari.

Sekeras Kerikil, Selembut Sutera

Manakan tidak hati dan jiwa ini tidak bahagia, jika hawa nafsu dan dosa menjadi raja. Manakan tidak segala yang ada ini tiada serinya, jika kejahilan dan kesombongan masih bermaharajalela. Betapa harta dan kelebihan yang kita miliki bukanlah hakikat bahagia yang hakiki, bukanlah jua berapa ramai yang menyanjung tinggi diri kita itu merupakan hakikat kebahagiaan abadi, namun manisnya iman, indahnya hidayah, itulah yang memberikan ketenangan buat hati dan jiwa yang tercipta.
Firman Allah dalam Surah al-An'am ayat 125 yang bermaksud:
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam. Dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempinya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."

Disaat nyawa belum singgah dipenghujung, disaat itulah rahmat Allah masih lagi menggunung. Namun bukanlah persoalannya kita tidak mengerti apa yang seharusnya diubah dan diolah, namun hati yang sombong, cintakan dunia dan tidak  mahu melangkah serta bermujahadahlah yang menafikan hati ini sebenarnya milik Allah. Betapa diri kita ini ibarat sebiji benih sepohon pokok yang memerlukan air dan cahaya. 

Basahilah hati antum semua dengan cintanya pada yang telah Mencipta, yang Maha Memberi segalanya, yang menghidupkan,yang memberikan warna-warna dalam kehidupan. Insya-Allah disitulah kita akan temui cahya yang diidamkan, cahaya yang memenuhi segenap ruang dan setiap inci perjalanan diri kita sebagai perantauan di dunia yang pastinya ada sempadan.

Manisnya Dirasa, Pahit Tidak Terkata

Merasai diri ini sudah mula mencintai dan merindui, pasti tidak mahu ada sebarang halangan yang mengganggu hubungan ini. Disaat berjujurannya air mata,dikala basahnya hati merindui Ilahi, tiada kata yang mampu memberi erti, mansinya hidup bersama-Nya. Namun, diakala hati rasa mula menjauh dari-Nya, rasa kesakitan dan kepahitan yang tiada tara kerana mengenang cinta yang baru mula terjalin sudah mula malap di perhentian kejahilan. 

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati ALLAH itu, hati akan menjadi tenang.” ( Surah Ar Ra'du : 28)

Kembali dengan langkahan penuh keyakinan, berbekalkan hati penuh pengharapan agar hanya kerana-Nyalah setiap niat dan tindakan ditetapkan, moga Allah memberikan keindahan hidayah dan manisnya iman di segenap sanubari hati supaya menjadi hamba Illahi yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah dan akal serta jiwanya sentiasa mengingati mati. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.. Moga diperkenan segala permintaan..


p/s: betapa rindunya saat saling ditarbiyah, membina ikatan ukhwah berakarkan iman dan taqwa. Rindunya pada sahabat-sahabat usrah.......hanya Allah yang mengetahui segalanya.. Moga Cinta dan Rindu kepada-Nya, moga manisnya hidayah,tawkkal dan indahnya taqwa akan mekar di hati ana dan antum semua...salam rindu...salam mujahadah.......




Comments

Popular Posts