Universiti Tarbiyah Rohani Kampus Ramadhan....


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt...

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahhilhamd.. kalimat takbir yang bergetar di setiap bibir-bibir mukmin yang menyambut kemenangan setelah sebulan mengharungi hidup sebagai mahasiswa di Universiti Tarbiyah Rohani Kampus Ramadhan cukup membuat air mata ini bergilangan. Pelbagai didikan dan ujian keimanan telah dilalui, mungkin ada dalam kalangan mahsiswa UNITAR berjaya menamatkan pengajian selama sebulan ini dengan menggenggam segulung ijazah ketaqwaan serta merasai kemanisan cinta Illahi....

1 Bulan : 29 hari : 4 Minggu

Melepasi bulan-bulan sebelum ramadhan , Rejab dan seterusnya Syaaban memberikan orientasi kepada kita terhadap persediaan selaku mahasiswa di UNITAR kampus Ramadhan. Tatkala bermulanya diri kita 'didaftarkan' selaku mahasiswa di Universiti ini, Allah membuka seluas-luasnya pintu rahmat buat kita semua, selama masa ini berjalanlah kita ditarbiyah dengan perlbagai cara. Daripada berpuasa, tadarus Al-Quran, bertarawikh dan mengejar malam Lailatul Qadar semuanya menuntut kita untuk melawan hawa nafsu, membakar jihad dalam diri, memanjat perbukitan keimanan dalam mencapai cinta Ar-Rahman. Dalam jangka masa ini juga, kita disajikan dengan pelbagai nikmat, janji-janji Tuhan yang pasti ditunaikan, cuma..dimanakah kita waktu itu? Adakah kita sudah betul-betul sedar tentang semua itu?....

Ijazah Ketaqwaan Untuk Graduan Ramadhan

4 semester sudah berlalu. Segulung ijazah taqwa tersisip kemas pada graduan yang berjaya melalui tempoh pengajian selama sebulan di Universiti ini. Mereka tidak dijanjikan dengan harta mahupun kerjaya, namun Allah pasti memberikan mereka kekayaan jiwa yang menyulamkan ketenangan dan memahat kebahagiaan dalam hati-hati insan yang berjawa memperoleh ijazah ketaqwaan. Manakan tidak, mereka terpaksa mengharungi malam-malam yang singkat semata-mata mencari redha illahi, mencari lailatul qadar yang menjadi janji terbesar Illahi di Universiti ini serta sentiasa memenuhi masa yang terluang dengan alunan zikir dan dendangan Al-Quran.

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. (Al-Baqarah 2:21)

Hari Konvokesyen  Buat Graduan Ketaqwaan
  
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah 2:183)

Bagi yang telah bersungguh-sungguh melalui kehidupan selaku mahasiswa di Universiti ini, sehingga memperoleh ijazah ketaqwaan, percayalah Allah pasti akan memberikan janji-jani yang telah terpatri. Tahniah buat kalian !. Cumanya, selepas ini, ada perkara yang perlu dihadapi diluar medan Ramadhan. Istiqamah dalam amalam yang telah dilakukan adalah satu hal yang perlu diberi perhatian sepenuhnya kerana mencari cinta Illahi, menjadi hambanya dan mengejar syurganya adalah satu usaha yang tidak pernah putus ! walau dimana, walau ketika mana, ianya tetap perlu terus dilaksana....

p/s: bergelinang air mata di pagi syawal mmbuat diri ini merasakan perlu utk 'extend' pengajian di Universiti Tarbiyah Rohani ini di kampus-kampus lain, bermula dengan kampus Syawal, Zulkaedah, zulhijjah sehinggalah Ramadhan akan datang jika diizinkan, kerana merasakan tidak layak lagi menerima ijazah ketaqwaan... Moga Allah menganugerahkan pada ana Ijazaq Ketaqwaan ini sebelum ana meninggalkan dunia yang fana' ini




Comments

Popular Posts