Kontrak Kehidupan, Kita Sering Terlupa ...


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Alhamdulillah, dipertemuan ini kita diperindahkan dengan keyukuran, diperpisahan ini juga dipatrikan dengan keredhaan. Saudara-saudaraku, marilah kita merenung sejenak apa yang telah kita perlakukan sebelum ini. Ketaatan kita, kepatuhan kita kepada yang Esa, tidak dilupa calitan dosa yang masih tersisa, kegagalan mengawal nafsu dijiwa sehingga lupa kepada yang masih dan kekal Berkuasa. 

Saudaraku, dalam meniti hidup, perkataan 'kontrak' begitu sinonim. Bermula dari pemilikan harta, tidak kiralah sewa rumah, kereta, dan walau apa jua, pasti tidak boleh dipisahkan dengannya. Dan pastinya, ia bermula dengan perjanjian dua pihak. Jika perjanjian berkaitan sewaan pasti pihak pertamanya adalah pihak yang memberi sewa manakala pihak kedua adalah pihak yang menyewa. Itu kontrak biasa menjadi tatapan dunia manusia, tetapi masih ada 1 kontrak yang sering kita terlupa. Kontrak yang kita tandatangani dengan hati dan jiwa kita semua.. 'Kontrak Kehidupan' ...

Kontrak Kehidupan : Kita Sering Terlupa

“ Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoa’lah kepadanya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya ”. Al-A’raf ayat 56

Saudaraku, jika dalam urusan sewa rumah mahupun apa sahaja, kita mulai dengan perjanjian lisan, seterusnya ditandatangani di atas selembar kertas perjanjian bersama saksi pihak pertama iaitu orang yang menyewa..
Tetapi sahabatku, itu yang sering kita jumpa ,itu yang sering menjadi tatapan dunia, namun hakikatnya.. kita terlupa satu perkara, kita terlupa akan sebuah perjanjian. Perjanjian yang kita tandatangani dengan seluruh jiwa dan raga kita, bersaksikan kebenaran dan kepatuhan. 

Sahabat syahadahku, cuba kalian rasakan degupan jantung kalian. Masih terasa bukan? Masih berfungsi untuk hidupmu bukan? Ya, ianya terus dan terus berdegup sehingga satu tempoh masanya yang kita sendiri tidak pernah ketahui. Degupan itulah hasil kontrak yang tidak ditandangani dengan mana-mana pena, tetapi kontrak itu terukir dijiwamu, terpahat dalam hatimu saudaraku..

Kita tidak pernah meminta, tidak pernah berdoa untuk berada disini, kita tidak pernah terdetik dan berharap untuk berada didunia. Namun hari ini.. Kita merasai segalanya! Kemewahan, Kegembiraan, Keluarga mahupun harta, kawan-kawan mahupun apa jua. Tetapi berapa ramai yang masih ingat, berapa ramai yang masih alpa bahawasanya kita hanya 'hamba' yang meminjam 'semuanya'....

Apa yang Kita Ada : Kita Sering Buta

Sahabatku, hari ini masih ramai yang cintakan dunia, sehingga lupa serta jahil terhadap amanah yang masih belum terlaksana. Dunia ini berseri baginya jika mampu dan sering menyakiti hati-hati manusia, sering lupa memanjatkan syukur terhadap nikmat illahi yang diberi.

 "Dan tidak adalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main main.Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan,kalau mereka mengetahui" 
 surat al ankabuut :64

Marilah sahabatku, perkuatkan diri, merubahkan perkara yang terbiasa kepada luar biasa. Lupakan layanan kepada kelemahan, lupakan kepada segala kesakitan. Bersama-samalah dengan orang soleh untuk meraih kebersihan nurani dan kegagahan menunaikan tanggungjawab yang terbeban.

Janji Yang Terpatri : Allah Menjadi Saksi

Saya selalu berharap dan mengharap agar hidup saya menjadi lebih baik dan terus menjadi lebih baik hari demi hari. Pasti kalian begitu juga. Ayuhla saudarakau, kita mulakan bersama-sama langkah yang pertama..

Sesungguhnya manusia itu banyak salahnya.Dan sesungguhnya sebaik-baik orang yang banyak salahnya, adalah orang yang banyak bertaubat.” (HR. Tirmidzi).

-BERTAUBAT-

Dalam mengharungi cabaran duniawi, tidak salah untuk merendah diri kerana ia mendidik hati, tidak salah dipandang rendah kerana ia menguji kesabaran , tetapi salah jika kita memandang rendah kepada sesiapa jua kerana bukan itu tuntutan sebenarnya. Marilah kita sentiasa memperbaiki diri, tiada bayaran , tiada kerugian walau sedikit. Bersama-samalah kita untuk sering berdoa, mengadu harap kepada Allah supaya kita tidak lupa kepada kontrak yang masih tersisa, supaya kita tidak alpa dengan darah yang masih mengalir dan jantung yang masih berdegup yang menjadi saksi perjanjian kita dengan Rabb yang Maha Pencipta.

Firman Tuhan dalam surah Al-Mu'min ayat 60 : "Berdoalah kepadaKU, nescaya Ku perkenankan doa kamu".


p/s: khas untuk sahabat-sahabat syahadahku, rindu bersama dengan kalian serta rindu untuk bersama dengan keluarga membenarkan sebuah hikayat, pertemuan pasti akan dipertemukan dengan perpisahan dan dengan penuh harapan supaya kita saling meperingatkan antara satu sama lain untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik..jumpa lagi .. insya-Allah...







Comments

Popular Posts