Karpet Merah ; Secangkir Harapan
Mukaddimah : Harapan Itu Fitrah.
Bermulanya sebuah harapan adalah apabila terbitnya rasa keinginan terhadap sesuatu. Tidak kiralah pada ketika itu kita sedang diambang tahun baharu, dipenghujung bulan atau dipertengahan tahun. Itu lumrah manusia, sentiasa ingikan sesuatu yang baharu. Maka, dengan tercetusnya harapan ini, maka bermulalah detik cabaran demi cabaran yang bakal dilalui.
Sebagai seorang hamba, sifat raja’ iaitu mengharap adalah sifat yang memang terpahat dalam fitrah kejadiannya. Sesiapa sahaja yang tidak langsung berharap, maka ia petanda kepada sifat putus asa.
Seorang mahasiswa pasti akan menghabiskan masa untuk menghafal dan membaca untuk mencapai keputusan yang terbaik sepanjang pengajiannya. Lihat pula kepada seorang guru, pasti akan bersusah payah mengerah keringat, wang dan masa semata-mata untuk melihat anak muridnya berjaya. Begitu juga sikapnya ibu bapa kita kepada kita, apatah lagi diri kita sendiri, pasti berusaha apa sahaja untuk mencapai kemahuan diri.
Bagaimana Hendak Bermula
Sebelum bermula, saya ingin bertanya, adakah kita punya harapan? Atau kita masih tidak tahu apa harapan dan tujuan yang kita inginkan?
Jika anda menyatakan tidak! Maka berhentilah untuk membaca perenggan seterusnya. Sesiapa sahaja yang memiliki hala tuju dan harapan sendiri, ayuh kita berkongsi!
Masih ingat kisah Rasulullah di dalam perang Khandaq? Ya, ketika tentera islam bakal berhadapan dengan bala tentera Quraish yang dikhabarkan memiliki battalion tentera yang besar, tentera islam mengatur strategi untuk menggali sebuah parit besar. Ketika itu, ada para sahabat cuba memecahkan batu yang besar, namun tidak berjaya. Nabi SAW mengambil penukul, Baginda SAW berdoa lalu memukul batu itu. Pada pukulan pertama, kelihatan percikan api dan batu itu pecah separuh. Pada pukulan kedua, kelihatan lagi percikan api dan batu itu pecah semuanya.
Kemudian, Baginda SAW bersabda :
“Pada pukulan pertama, aku melihat gedung dan istana-istana kisra di Hirab (Parsi). Pada pukulan kedua, aku melihat istana-istana merah di Romawi (Rom). Sesungguhnya umatku pasti mengalahkan mereka.”
Bermula daripada hadith ini, Rasulullah sudah membina harapan yang berbunga kepada para sahabat dan islam khususnya. Iaitu menawan Rom dan Parsi. Dalam sebuah hadith lagi Rasulullah SAW bersabda ;
Harapan untuk menawan konstantinopel ini dibawa turun temurun. Bermula usaha pertama dilancarkan tahun 44H zaman Mu”awiyah bin Abi Sufyan RA sehinggalah penaklukannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada 20 Jamadil Awal, 857H bersamaan 29 Mei, 1435M.
Lihatlah bagaimana bermulanya daripada sebuah harapan, ianya dibawa dengan kibaran semangat , usaha dalam mendepani cabaran dan halangan akhirnya ia menjelmakan impian.
Fikirkan, Muhasabah dan Mulakan
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11)
Dalam firman Allah di atas, Allah inginkan kita belajar dengan usaha daya kita sendiri. Kita sudah ada harapan, maka jika ianya tidak diusahakan dengan iltizam yang bersungguh-sungguh, adakah Allah yang Maha Adil ingin memberikan kita mencapai kesemua yang kita idamkan? Sudah tentu tidak berbanding mereka yang bermati-matian berusaha mengubah nasib sendiri.
Bermulalah dengan membina kekuatan. Tidak lain, hanyalah dengan memohon kepada Allah SWT supaya ditetapkan iman, diberi keteguhan dalam mengharungi cabaran.
“Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”.” (Surah al-Mu’min, 40: 60)
Setelah kita membina kekuatan, carilah jalan, berusahalah semampunya. Tidak rugi bagi kita yang berusaha berbanding orang lain yang hanya punya cita-ita tetapi dipendamkan sahaja tanpa berbuat apa-apa. Sesungguhnya jika kita berusaha, ingatlah kurniaNya sangat besar dan luas.
Allah berfirman ;
“Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah.” (Surah al-Jumuah : 10 )
Penutup : Mulakan Sekarang!
Tidak perlu untuk menunggu detik dan saat masuknya tahun baharu untuk kita berubah.
Allah mengajak kita untuk kembali kepadaNya setiap masa. Ya, setiap masa, pagi, petang, malam, bila-bila sahaja. Asalkan, ada kemahuan.
Jangan takut untuk mendepani cabaran setelah adanya harapan,
Kerana, Islam dahulu gemilang, kerana jutaan ummatnya yang sanggub dihiris tubuh, direntap nyawa!