Motivasi : Jangan Lupa Rumput di Bumi!



Mendakilah Setinggi Manapun

Semua orang dambakan kejayaan. Saya juga tidak terlepas daripada fitrah sebegitu. Maka, pelbagai cara dan kudrat dilakukan demi mencapai apa yang kita impikan.

Tetapi, mimpi tidaklah indah semuanya bukan? Malah, tidak semua realiti sama seperti yang kita gambarkan dan harapkan.
Tidak mengapa jika tidak berjaya meraih apa yang telah kita usahakan kerana Tuhan sedang mengatur sebaiknya demi penghidupan kita.

Usah Dilupa Rumput Di Bumi.

Tidak kiralah berjaya mahupun terkandas meraih cita-cita, ini nasihat saya untuk diri dan kita semua. Kata seorang murabbi saya;

Seandainya kita berjaya menaiki Langit tinggi, jangan dilupa rumput dibumi.

Rentak bahasa yang mudah, tetapi penuh makna. Ironinya, kita  sering terlupa untuk bersyukur dengan yang kita ada.
Oleh kerana itulah Tuhan yang Maha Bijaksana mengatakan manusia jika diberi selembah emas sekalipun akan sentiasa meminta seperti tidak cukup semuanya.

Cuba lihat insan yang banyak kurangnya daripada kita. Jika kita punya makanan,tetapi tidak menepati selera ingatlah ada jiran-jiran kita yang mencatu wang demi makanan. Malah,makanannya ala kadar sahaja.

Jika kita punya kereta lama atau buruk, lihatlah pada sang bapa yang tidak punya kenderaan berbumbung demi menghantar anak-anak menuntut ilmu. Bagaimana pula jika ada kecemasan dan cuaca tidak mengizinkan? Fikirlah perasaan mereka.

Pakaian kita, sering juga terdengar rungutan Hamba Tuhan bajunya tidak menepati citarasa, tidak trendi dan pelbagai alasan lain sedang yang sedia ada kadangkala cukup cantik dan selesa. Ada dalam saudara kita, yang bajunya boleh dibilang. Dibasuh,dipakai bagi basahan dan baju itulah digosok untuk ke majlis dan berada di jalanan.

Penutup : Berterima kasihlah pada Tuhanmu

Jika berasa tidak cukup, tidak puas hati dengan kurniaan Tuhan.

Duduk, renungkanlah.

Dalam kesenangan kita, masih ramai jiran-jiran, saudara Mara kita yang lebih sukar dan mencabar hidupnya.

Demi ketengan dan kedamaian jiwa.
Bersyukur dan berterima kasihlah pada Tuhan kita.

Usah dilupa rumput di bumi!

Asyraf Alpandi

Comments

Popular Posts