Pemuda : Bebatlah Kesedihanmu




Mahalnya Kesedihan

Hidup adalah gelanggang ujian. Ya, mahu tidak mahu semua yang bergelar manusia wajib melaluinya. Kerana itu Tuhan menjanjikan kebaikan dan kenikmatan di akhirat kelak sebagai bayaran jika kita memilih kesabaran.

Jiwa kita sering mahu menafikan kehadiran perasaan sebegitu, justeru mengapa kesedihan dilabel sesuatu yang mahal?

Jika ada barangan mahal yang kita beli, pasti lain perasaan untuk menghargainya bukan? Kalau bukan,maafkanlah telahan daif saya ini. Kesedihan menjadi sesuatu yang mahal jika kita benar-benar menghargainya. Bagaimana?

Kesedihan Yang Membina

Tidak kiralah apa jua yang menjadikan kita sedih, samada kehilangan sesuatu atau seseorang.Kecewa tidak mendapatkan sesuatu atau pelbagai alasan lain, ingatlah satu perkara bahawa segalanya milik Tuhan. Tuhan kita Maha Pengasih,Maha Penyayang dan puluhan lagi sifat wajib dan indah baginya.

Maka, dengan sifat Tuhan kita yang Maha Berkuasa ini, percayalah dia mengatur hidup ini sangat indah dan terbaik untuk kita.

Justeru, mereka yang menghargai kesedihan, mereka akan mengalirkan air mata kerana pertamanya, lumrah jiwa makhluk yang bersedih dan keduanya mengalirkan air mata untuk meraih kekuatan dari Tuhan.

Usai itu, mereka akan meneruskan perjalanan hidup dengan bersangka baik kepada Tuhannya. Oh ya, bukankah Allah mengikut sangkaan hambaNya? 

Renungkan.

Penutup: Bebatlah Kesedihanmu

Kita boleh saja pernah sedih kerana kehilangan.

Sedih kerana kegagalan dan banyak lagi. Cuma yang membezakan , samada kita membebat sebaiknya jiwa kita dengan kepercayaan kepada kekuasaan Tuhan
atau

Menangisi kekecewaan, melemah dan lemas dalam ketidak tentuan jiwa yang tidak redha dengan ujian.

Pemuda, bebatlah Kesedihanmu.

Hamba semata
Asyraf Alpandi

Comments

Popular Posts