Pemuda : Ini pun dah cukup bro
Hari-Hari Yang Kita Lalui
Saban hari kita berjumpa dan bersemuka dengan pelbagai jenis dan ragam manusia. Hendak disenaraikan, saya fikir ianya agak sukar. Iyalah, ragam manusia ini terlalu banyak,malah berubah mengikut peredaran zaman.
Bagi pemuda, masa yang sedang berlalu termasuk saat membaca artikel ini adalah sesuatu yang rugi jika dibiarkan berlalu begitu saja. Seumpama bayu yang mengirim dingin, kemudian hilang meninggalkan hangat di tubuh.
Belajarlah daripada kejelikkan,keunikkan, dan apa jua sifat yang dipinjamkan Tuhan kepada manusia. Barulah hidup ini bermakna.
Oh, bukankah Tuhan berkata beruntung bagi sesiapa yang berfikir?
Kita & Orang Sekeliling
Saya, juga ramai diantara kita mengenali susuk tubuh yang pelbagai latar belakangnya. Ada yang seumpama orang berada,berharta. Malah, ada juga yang kelihatan selamba, sempoi kata anak muda walau hidupnya tidak mewah dibayangi kemewahan dunia.
Sebenarnya kita ini terlalu banyak nikmat dan kesenangan yang Tuhan telah kurniakan. Ya, walaupun kita berasa hidup kita sukar, sebenarnya ramai lagi orang-orang lain yang merintih jiwanya mencari senang buat diri dan keluarga.
Bayangkanlah ramai pemuda seusia kita yang terlantar menanggung tubuh yang diuji sakit dari Tuhan. Tidak dapat bergerak, bersuka ria seperti mana kita.
Juga, ramai diantara seusia kita berjuang memerah keringat, bekerja dua tiga pekerjaan demi memberi bakti kembali kepada ibu bapa, mencari rezeki untuk keluarga sendiri hingga terpaksa menutup sebelah mata keindahan zaman muda seperti yang mungkin kita lalui.
Penutup : "Ini pun dah cukup bro"
Satu perbualan yang barangkali saya boleh kongsikan untuk mengisi jiwa kita serba sedikit ;
"Eh,minum air kosong dengan nasi bujang je ke?" Aiman bertanya spontan.
"Haah, sedap apa, kenyang pun kenyang". Balas Asrol mudah.
"Alaa, kalau nak makan apa-apa cakaplah,aku support sikit" pelawa Aiman.
"Eh, tak apa. Ini pun dah cukup bro." Balas Asrol sambil menghirup sup kosong dengan tenang dan penuh selera.
Makan kita mungkin cukup mewah.
Pakaian kita mungkin cukup kemas, cantik.
Kesihatan kita juga mungkin cukup membolehkan kita bermain,menikmati alam penuh tenang.
Orang lain?
Ini pun dah cukup bro!
Asyraf Alpandi
Comments