Pemuda : Lihatlah Telapak Tanganmu




Hidup Sentiasa Punya Pilihan

Jika diberi peluang untuk melihat bagaimana gembiranya riak wajah ibunda dan bapa kita tika meraut lembut telapak tangan kerdil kita dahulu, saya fikir semua menginginkannya.

Mana tidaknya, ketika itulah usia kita sepenuhnya menggembirakan mereka walau rengekkan kita kadangkala menguji sabar jiwa bergelar ibu bapa.

Kita percaya, telapak tangan mereka memilih untuk membesarkan dan memenuhi keselesaan kita. Mungkin juga, sehingga hari ini, telapak tangan merekalah yang menyejukkan jiwa pastinya.

Lihatlah Telapak Tanganmu

Cuba renung telapak tangan masing-masing. Cantik bukan? Masih kelihatan muda,jauh bezanya dengan orang tua kita hari ini.

Hakikatnya, satu hari nanti telapak tangan ini juga akan menjadi seperti mereka. Menanti hari dimamah tanah selepas puluhan tahun merasa pelbagai rasa.

Itu pun jika umur masih dibenar Tuhan untuk hidup selama itu.

Penutup : Kita Tidak Selamanya Muda.

Rina Kuryakusuma Dalam bukunya Lukisan Keempat ada berkongsi rangkap kata ;

Suatu saat kita akan menjadi tua. Mungkin 30 atau 40 tahun lagi aku tidak akan kelihatan seperti sekarang. Mungkin aku lebih bungkuk. Dan mungkin sudah ada kerut diwajah.

Maka, adakah kita masih berfikir untuk terus berfoya, membayar masa muda kita pada perkara yang membazir usia. Ataupun masih mahu tertipu dengan bayang indahnya zaman muda hingga lupa usia kita tidak tahu bila tarikh luputnya.

Lihatlah telapak tangan kita kembali.
Sampai masa ianya akan berkedut tua.
Walau kini ia masih muda,
tetapi tidak selamanya.

Pilihan di tangan kita. Menjadi dan memilih pemuda yang menghargai masa muda sebaiknya.

Ayuh.

Hamba Tuhan
Asyraf Alpandi

Comments

Popular Posts