Motivasi : Bahagia Dengan Masa
Berkurun lamanya kokokan ayam jantan memecah subuh, menjadi penggera semulajadi buat kita semua. Mengapa? Kerana Maha Bijaksananya Tuhan menjadikan sebegitu untuk menunjukkan setiap makhluknya diberi masa khusus untuk melaksanakan amanahnya.
Bagaimana kita ? Juga punya masa bukan? Cuma kadangkala kesuntukan masa menghimpit jiwa dalam tekanan, menghempas lelah pada tubuh yang dilanyak kesibukan.
Masih mampukah kita Bahagia dalam keadaan yang begitu menghimpit?
Bahagia Dengan Masa
Untuk merasa bahagia dengan masa, hanya satu yang perlu kita lakukan. Menghargai masa, noktah.
Bagaimana hendak menghargai masa? Dengan menggunakan setiap masa yang ada untuk berkomunikasi dengan Tuhan kita. Jika sudah tiba waktu solat, solatlah sekhusyuk yang kita mampu. Punya masa untuk berdoa walau seminit pun,gunalah dengan hati yang penuh dengan rasa rendah diri dan pengharapan.
Jika kita melihat indahnya alam, pujilah Tuhan yang Maha Menciptakan. Katakanlah betapa beruntungnya kita diberi masa untuk menatap semuanya itu dengan nikmat yang terlalu banyak.
Itu semua adalah perkara yang menunjukkan kita menghargai setiap saat nafas yang terhembus.
Akhirnya, rasailah betapa aman dan indahnya hidup walau sesibuk mana, walau sesukar mana kehidupan kita.
“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (Riwayat Bukhari)
Penutup : Pilihan Kita
Pilihlah untuk bahagia dengan masa yang tersangat singkat di atas dunia ini.
Menghargainya dengan sentiasa menggunakan masa yang ada untuk berkomunikasi dengan Tuhan kita.
Masih tak percaya? Cuba ambil 3saat selepas solat. Katakan dalam hati,
"Maafkan aku ya Allah atas segala kesalahanku,Terima kasih Allah atas semua nikmatmu kepadaku"
3 saat sahaja. Demi sebuah kebahagiaan.
Asyraf Alpandi
Comments