Motivasi : Bahagian Bila Membahagiakan
Jatuh bangun kita sepanjang hidup adalah satu bentuk ujian dari Tuhan, demi melihat siapakah dalam kalangan hambaNya yang terbaik pada setiap inci kehidupannya. Sebab itu, ramai manusia yang ditimpa susah dan derita. Usah dikira pada yang dibuai kesenangan dengan bergunung harta.
Adakah mereka semua ini bahagia atau sebaliknya?
Bahagia Bila Membahagiakan
Masih ingat kisah pemuda yang masuk syurga kerana hanya memberi minum pada anjing walau beberapa teguk pada sepatu lusuh? Akhirnya pemuda ini menerima hadiah paling membahagiakan yang diimpi setiap manusia beriman. Iaitu, syurga.
Mengapa? Hanya kerana dia membahagiakan seekor haiwan yang dipandang hina dijalanan. Itupun sudah cukup baginya meraih bahagia. Betapa bahagianya jika melihat sang serindit dan merpati dilepas pada angkasa bebas,begitulah juga seronoknya, bahagianya apabila kita membahagiakan orang lain.
Membahagiakan Semampunya
Memberilah seada dan semampunya kepada yang memerlukan jika inginkan jiwa yang disaluti kebahagiaan. Jika kita hanya ada seulas senyum bagi merungkaikan kesedihan orang lain, berilah seikhlasnya. Jika kita punya kelebihan harta dan kudrat, berkongsilah dengan penuh kasih dan sayang. Percayalah, bahagia akan hinggap menyentuh jiwa.
“…Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia, dan pekerjaan yang paling dicintai Allah adalah menggembirakan seorang muslim, atau menjauhkan kesusahan darinya, atau membayarkan hutangnya, atau menghilangkan laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’ktikaf di masjid ini (masjid Nabawi) selama sebulan…” (HR. Thabrani)
Penutup
Memberi dan membahagikan memang cukup memberi kesenangan dan ketenangan.
Cuma, pilihannya pada kita untuk memberi dan berkongsi atau tidak.
Berkongsilah dengan kesemua makhluk Tuhan, kerana kita menduduki bumi dan alam yang sama. Mana mungkin bahagia itu lenyap begitu saja jika masih ada setitik cinta pada keinginan untuk saling berkongsi dan memberi.
Salam bahagia.
Asyraf Alpandi
Comments