Motivasi :Biar Selumbar Menusuk Dalam


Pra : Biar Selumbar Menusuk Dalam

Sebelum kita berhadapan dengan apa sekalipun rintangan, ujian, mahupun kritikan, kekuatan rohani adalah penangkis yang paling utuh untuk kita persiapkan. Percayalah! Tanpa kekuatan rohani, kita tidak akan mampu, kerana yang menjaga setiap detik dan setiap langkahan kita adalah Tuhan. Ya, bayangkanlah sehalus selumbar yang menusuk dalam lapisan kulit sahaja sudah mampu menggugah ketenangan dan mengguris gusar pada manusia. Inikan pula ujian-ujian lain yang datangnya tidak tentu masa, tempat mahupun keadaan malah hadirnya dalam pelbagai bentuk yang tidak terduga. Tentunya seseorang itu akan lebih parah dalam kesedihan dan tekanan yang melampau jika langsung tidak bersedia.

Tiada Yang Lebih Besar


Hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.” 

(Al Fatihah: 4)

Bagi seorang muslim, ayat ini sepatutnya menjadi satu bekal dalam kehidupan seharian. Mana mungkin kita mampu untuk berhadapan dengan sesuatu ujian yang diluar jangkaan tanpa merasakan dan meletakkan Allah sentiasa bersama dengan kita. Tidak mungkin! Sedang ayat ini dibaca setiap kali berbicara denganNya dalam ibadat wajib setiap waktu.


Tiada yang lebih besar melainkan Allah. Sesiapa pun yang berusaha menjatuhkan kita. Sebesar manapun kesusahan, keperitan dan kegundahan yang kita alami, sesungguhnya Allah itu tetap Maha Besar, Maha Tinggi, Maha Berkuasa untuk kita letakkannya jauh dalam dasar hati kita. Akhirnya, biarlah tsunami ujian meranapkan secebis kehidupan kita, jiwa kita tetap tenang, bibir kita tetap mampu tersenyum dalam penuh ketenangan.

Penutup : Bersiaplah!

Dalam hidup ini, akan ada banyak saat yang kita sendiri tidak kuat untuk hadapi.
Pelbagai bentuk, pelbagai rupa, pelbagai rasa.

Kita semua sudah tahu semua itu. Mana mungkin kita yakin kita beriman jika belum diuji bukan?
Maka, binalah kekuatan, perkukuhkanlah rohani

Biar selumbar menusuk dalam,namun kita masih mampu tersenyum dengan penuh tenang.

Asyraf Alpandi

Comments

Popular Posts