Buat Apa Yang Kita Suka : Ego Atau...?



Bicara Awal : Kalau Dah Suka!

Semua orang ada memiliki kecenderungan untuk memiliki, merasai dan berkerja pada apa diminatinya. Sudah tentu, ianya beserta hala tuju dan sasaran yang diimpikan. Peniaga dengan minat dan usaha gigihnya meraih keuntungan, pendakwah dengan jerih pedih memerah keringat untuk membawa manusia ke jalan kebenaran, ahli sukan dengan keterujaan memiliki kejuaraan dan bermacam lagi.

Justeru, perlukah kita sebagai manusia yang memiliki keturunan yang sama daripada Adam meletakkan perasaan iri hari serta batu halangan pada minat saudara kita sendiri? Terpulang. Sebab itu dalam hidup ini Tuhan berikan pilihan kepada manusia, jalan yang Tuhan berikan nikmat ataupun jalan yang Dia murka lagi menyesatkan. Bagi yang sudah memiliki minat terhadap sesuatu bidang, percayalah pada keazaman, minat dan kesungguhan yang telah ditanam sejak langkah pertama. Ianya adalah kayu sakti pada apa saja bentuk kebencian, iri hati dan dengki. Teruskan saja, kalau kita dah suka!

Ego Atau Sebaliknya?

Malangnya, ada juga yang apabila dia berusaha pada landasan minatnya, dia meninggi diri dengan kebolehan yang dimiliki. Malah, ada juga yang apabila dikritik dan ditegur terus saja melatah. Lidahnya menghembur cacian, kedustaan,fitnah dan kebencian. Bagaimana pula dengan mereka yang apabila sedang sibuk merencana kejayaan pada minatnya, dia lupa pada kehijaun rumput yang dipijak dek kerana sibuk memuji birunya langit tinggi. Dengan kata lain, dia lupa untuk merendah diri apabila sudah berada di puncak. Dia lupa pada sujud apabila Tuhan memberikan seribu nikmat pada usahanya.

Namun, boleh jadi mereka yang berusaha dalam relung kerja yang diminatinya sering kali menadah tangan, merendahkan hati pada sang Pencipta yang memberikan kemudahan dan kenikmatan. Bibirnya tidak pernah lekang daripada senyuman walau panahan ujian menjadi latar belakang kerjanya. Mereka inilah yang apabila Tuhan berikan nikmat mereka bersyukur,namun apabila Tuhan menguji mereka tetap juga bersyukur dalam kesabaran.

Penutup : Bumikan Tekad!

Semua orang memiliki impian.

Pastinya, mencapai impian bukan mudah. Kerana lumrahnya, kejayaan pasti bermula dengan kegagalan. Itu sifir dunia yang tidak boleh kita ketepikan!

Cuma, apabila kita tersungkur atau dijatuhkan, usah membela dengan ketinggian ego dan kesombongan kita.

Sujudlah pada Tuhan, lemparkan senyuman, dan bangkitlah kembali.

Tidak salah buat apa yang kita suka, tetapi jangan lupa kita tetap hamba selamanya.

 “Beruntunglah orang yang telah mensucikan hatinya dan rugilah orang yang telah mengotorinya”. (Ash-Sham:9-10)

Asyraf Alpandi

Comments

Popular Posts