Motivasi : Dengan sepatu kita berjaya!
Pembuka Kata : Mengapa Sepatu?
Sejak awal langkah pertama kita sebagai manusia yang meningkat usia, ibu bapa kita adalah insan yang paling teruja. Saat itu, mereka sudah memikirkan untuk menyediakan kita sepasang sepatu. Percayalah! Naluri ini ada pada setiap daripada mereka.
Oh ya, bermula dari itu, kita tidak pernah renggang daripada memiliki sepasang sepatu. Sehinggalah kita dewasa kini, sepatu adalah peneman setia walau ia hanya diguna pakai untuk dipijak, dihenyak sepanjang masa. Apabila ia rosak, kita akan menukarnya dengan yang baru. Jika ia sudah uzur ditelan masa, pasti nafsu ini membuak-buak untuk memiliki sepatu yang lain.
Masih ingat karangan biografi yang biasa kita tulis ketika zaman persekolahan dahulu? Benar, jika ditulis, kita sendiri merasai bagaimana perasaan sepatu saat mula dimiliki hinggalah saat disisihkan. Fikirkan sejenak, berapa banyak sepatu yang telah kita lupakan dan bilangan itulah yang membuatkan kita menjadi diri kita hingga hari ini!
Dengan Sepatu Kita Berjaya!
Walau siapa pun kita hari ini, sebenarnya kita adalah orang yang berjaya. Hatta kita seorang pemungut tin dan surat khabar lama sekalipun! Mengapa? Kerana kita berjaya berjuang untuk meneruskan hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Sudah ingat sepatu-sepatu yang telah digunakan sebelum ini? Sekarang fikirkan jasa 'mereka' sehingga membawa kita berjaya sampai hari ini. Ya! Dengan merekalah kita menikmati kejayaan dan nikmat pada hari ini.
Penutup : Yang Tersirat
Puluhan, malah ratusan sepatu yang pernah menemani kita sepanjang usia sebenarnya telah kita lupakan. Walhal, 'mereka' ini adalah hero yang tidak pernah dipuji walau kehadiran mereka membuatkan kita bergaya dan menikmati pelbagai rasa dalam hidup ini.
Begitulah hidup, banyak perkara dan pihak yang kadangkala kita lupa ataupun sisihkan tanpa sengaja. Sedang mereka ini cukup penting dalam mewarnai kejayaan kita pada hari ini.
Pandanglah sepatu kalian, ingatlah pada apa dan siapa yang banyak berjasa tetapi atas kelemahan sebagai manusia, mereka ini tidak didendang sebagai pahlawan yang berjasa.
Walau ianya sepasang sepatu, ia tetap saksi siapa kita sebenarnya.
Selamat Maju Jaya
Asyraf Alpandi
Comments