Motivasi : Saat Kita Dipandang Sebelah Mata


Pembuka Kata

Saat kita cukup teruja untuk berkongsi impian sendiri, kadangkala ada saja lidah yang membunuh semangat dan keazaman. Ketika kita sedang berusaha dan berjuang sehabis tenaga, kadangkala ada juga desir suara yang mematikan keterujaan kita.

"Boleh ke nak jadi macam tu? Gila ke apa.."
"Kita tengok jela berapa lama dia macam tu..."
"Itu je ke yang kau dapat buat ?"
"Alah dah biasa aku tengok orang buat macam dia..."

...dan banyak lagi. Ya, memang banyak. Itu belum dikira pada 'bahasa tubuh' yang dirasakan seakan-akan memperlekehkan kebolehan kita. Jelingan mata, lidah yang menjelir tanda mempermainkan usaha kita dan gerakan jari yang mempersenda.

Motivasi : Saat Itu..

Saat itu, ucapkan dalam hati kita yang kita akan buktikan dan tidak akan mengalah pada provokasi sedemikian rupa. Pada saat itu juga, jangan lupa untuk kita terus tersenyum. Tetapi ingat! Senyuman itu adalah sebenarnya untuk senjata untuk melawan kembali, kerana mereka yang selalu merendahkan diri kita biasanya lebih kecewa apabila melihat kita mampu tersenyum saat kita diuji sebegitu.

Usahlah terlalu melayan lontaran kata-kata yang penuh nista dan membunuh semangat. Kecewa itu pasti akan terbit, namun kita perlu percaya, mendung bukan hadir untuk menutup rahmat malah mengundang kedamaian dalam kedinginan. Teruskan melangkah dengan penuh positif dan bersangka baik kepada Allah SWT kerana Allah SWT sentiasa mengikut sangkaan hambaNya.

Penutup

Saat kita dipandang sebelah mata,
katakan "tidak mengapa.." sambil bibir melempar senyum,
sebagai tanda kekuatan jiwa.

Saat kita dipandang sebelah mata,
sentiasalah ingat Tuhan bersama kita,
dan kemenangan akan tetap berada kepada mereka yang tetap kekal berusaha.

Selamat Maju Jaya

Asyraf Alpandi

Comments

Popular Posts