Motivasi : Usah Bertangguh Menjadi Terbaik




Pembuka Kata

Menjadi yang terbaik tidaklah semudah kita menuai mimpi, boleh jadi ianya seumpama menabur benih di awan biru. Menjadi yang terbaik adalah satu azam yang sangat baik, namun kebanyakannya terhalang dengan kegagalan menghadapi pelbagai mehnah dan cabaran. Oleh sebab itu, untuk menjadi yang terbaik, kita perlu sentiasa memiliki ketetapan yang cukup realistik dan keazaman yang sangat kuat.

Percayalah, sesuatu yang terbaik tidak pernah datang bergolek. Apatah lagi hendak mengharap seperti debunga yang beterbangan, kemudiannya menghiasi laman secantik istana. Menjadi yang terbaik tetap ada cabarannya, dan cabaran tersebut bermula seawal langkah pertama!

Langkah Pertama : Apabila Kita Berniat Menjadi Baik

Dalam satu riwayat Rasulullah SAW yang cukup panjang ada menceritakan perihal niat dan keazaman. Apa sahaja niat kita, itulah yang kita akan perolehi (dengan izinNya), sekiranya redha Allah yang kita cari, sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hamba-hambaNya yang sentiasa taat dan ingat padaNya.

Justeru, apabila terlintas sahaja kita ingin menjadi baik, syaitan akan mula memainkan peranannya. Bukan kita tidak kenal dengan makhluk ini, malah berulang kali Tuhan katakan bahawasanya mereka ini (syaitan) adalah musuh kita yang nyata. Ya, nyata dan boleh kita sedari!

Bagaimana? Apabila diri kita sudah berasa tidak mampu menjadi baik dan terbaik. Lebih malang lagi, apabila kita merasakan tidak mampu menjadi baik dan terbaik seperti orang lain kita tinggal segala keazaman kita menjadi baik. Alangkah ruginya!

Berusaha Sahaja Tanpa Lelah

Benar. Apabila kita berusaha menjadi yang terbaik, ada sahaja tutur bicara yang mencantas semangat. Bermula sahaja langkah pertama, pasti akan ada kesilapan yang kita lakukan dan ianya kadangkala meracuni semangat kita untuk terus menjadi lebih baik. Banyak lagi mehnah dan cabarannya, jika hendak ditulis, ah! pasti tidak cukup ruang untuk dikarang di sini.

Apa yang penting, genggam bara keazaman kita hingga abu usaha kita itu apabila ditabur ke bumi menjadi benih kejayaan yang kita banggakan. Kelelahan untuk mendaki pasti ada pada mereka yang mengejar keindahan puncak tertinggi. Begitu juga yang dirasai pelayar di lautan luas, kepuasan terpancar apabila berjaya mengharungi badai di tengah ribut dan taufan.

Penutup

Realitinya, menjadi yang terbaik memang bukan sesuatu yang mudah.

Tetapi yang pastinya ia bukan sesuatu yang mustahil.

Cabaran itu pasti, ujian itu sememangnya sudah menanti.

Apabila kita sudah bertekad menjadi yang terbaik,

Usah bertangguh, berusahalah dan gapailah impian itu.

Selamat Maju Jaya

Asyraf Alpandi



Comments

Popular Posts