Sepasang Baju Melayu Buat Azim
"Azim...Azim..." Mak Senah memanggil-manggil anak sulungnya yang menghilang entah ke mana sejak mereka berdua pulang dari membanting tulang di kebun pusara. Pemergian suami 3 tahun yang lalu membuatkan Mak Senah terpaksa bekerja keras untuk membesarkan 4 orang anaknya yang masih bersekolah kesemuanya. Dahulu, suaminya adalah tempat mereka sekeluarga bergantung harap, kini dia dan anak sulungnya, Azim yang menjadi tulang belakang keluarga.
Deruan sungai diiringi kemerduan sang burung menyanyi girang membuatkan Azim berasa aman dan tenang. Setiap kali dia pulang dari menoreh bersama ibunya, pasti dia akan ke sini. Duduk sambil kaki tergantung di pondok buluh hasil tangan ayahnya dahulu, Azim lebih banyak terdiam. Matanya meliar, kadangkala tidak berkedip apabila mengenangkan sesuatu. Sejak pemergian ayahnya, di sinilah tempat dia memencilkan diri. Barangkali, ada perkara berat yang sentiasa difikirkannya.
Malam berganti siang. Senja yang baru sahaja berlalu menandakan hari yang dilalui kian berada dipenghujung. Azim baru sahaja pulang dari masjid menunaikan solat maghrib. Memasuki ruang tamu, dia terlihat adik-adiknya sedang tekun membaca serta menyiapkan kerja sekolah. Jauh dihatinya, dia rindu untuk kembali ke alam persekolahan. Menikmati keindahan persahabatan, menerima pengalaman belajar di kelas bersama guru-guru dan semua yang ada di sekolah. Namun, kesemuanya itu ditelan jua walau rasanya sepahit hempedu. Demi adik-adik, biarlah dia bekorban untuk keluarga dan berbakti kepada ibunya.
"Abang..minggu depan ada sambutan maulidur rasul. Kena pakai baju melayu. Tapi baju melayu adik dah tak muat." Adiknya Muaz meluahkan keinginan kepada abangnya yang kini beralih menjadi ketua keluarga.
"Yeke..."Azim termenung sejenak. Jari jemarinya mengusap-usap janggutnya sejemput. Dia memikirkan bagaimana hendak mendapatkan baju melayu yang baru untuk adiknya. Mak Senah hanya memicing telinga dari jauh sambil-sambil dia melipat kain di penjuru ruang tamu.
"Abang...dengar tak?" Adiknya bertanya lagi.
"Dengar-dengar.. tak apa, nanti abang carikan eh.." Azim membalas lembut. Air liurnya ditelan bukan kerana terliur pada makanan, tetapi mengenang kekurangan wang dalam simpanan keluarganya.
Hujan renyai serta ribut membuatkan Mak Senah serta anak sulungnya Azim terpaksa pulang awal ke rumah. Menoreh pada waktu hujan kadangkala agak merbahaya, apatah lagi jika ribut turut melanda.
Mak Senah selesai menyusun peralatan menoreh di bangsal belakang. Ketiadaan Azim di situ sudah menjadi perkara biasa baginya. Mak Senah menaiki rumah untuk membersihkan diri dan menunaikan solat dhuha bagi memohon keberkatan rezeki dari Allah SWT.
Angin ribut kian reda menjadikan cuaca sekitar cukup nyaman dengan desiran angin lembut dingin menyapa tubuh dan wajah. Oh! indahnya cuaca sebegitu. Azim termenung di tebing sungai sambil tangannya melempar batu-batu kecil.
"Azim.." Mak Senah menegur tanpa memberi salam terlebih dahulu.
"Nah, mak bawakan nasi lauk telur masak sambal." Mak Senah meleretkan senyum pada anak sulungnya sambil tangan tuanya yang kian berkedut mengusap lebut rambut anak sulungnya.
"Kesian Azim, terpaksa bekerja untuk adik-adik dan mak." Mak Senah menyambung kata-katanya.
"Tak apa mak. Mak suka, adik-adik suka, itu dah buat Azim gembira."
"Mak sayang Azim. Terima kasih jadi anak yang baik..Emm..Mak nak tanya satu soalan boleh?" Mak Senah masih dengan seyumannya yang manis
"Kenapa mak?"
"Azim ada masalah apa-apa ke? Selalu kawan-kawan mak cakap Azim ke sini."
"Tak adalah mak." Kelopak matanya mula bergenang.
Mak Senah tidak berniat lagi untuk menyambung soalannya walau ada banyak lagi perkara yang ingin ditanya. Cukuplah itu sahaja dahulu, takut memberi tekanan pada anaknya pula.
"Oh...nah ambil ni." Mak Senah menghulur satu bungkusan kepada Azim. Dengan penuh persoalan,Azim membuka bungkusan tersebut dan mengeluarkan dua pasang baju melayu.
"Eh, mak dapat dari mana baju melayu ni."
"Sepasang tu untuk Muaz, sepasang lagi untuk Azim." Riak wajah Mak Senah yang kian dimamah usia tetap setia dengan senyuman kasih dan cinta pada anak kandungnya.
"Eh, kan Muaz je yang nak,mak?" Azim tertanya-tanya apatah lagi dengan sumber kewangan ibunya yang terhad untuk berbelanja sehingga lupa untuk mengucap balas kasih.
"Mak tengok Azim selalu pakai baju melayu arwah abah ke masjid. Sekilas pandang, mak tahu kamu rindu kat abah. Baju melayu Azim yang ada pun dah tak muat kan? Kesian Azim tak ada baju melayu sendiri. Anggaplah ini hadiah dari mak."
"Terima kasih mak..." Air matanya berjujuran. Jiwanya luluh melihat ibu yang kian tua membebat hatinya yang penuh keluhan. Mereka saling berpelukan.
"Azim selalu datang sini sebab dulu abah selalu cakap. Kalau ada apa-apa masalah, ingat Allah. Ingat Allah ni boleh dekat mana-mana, bila-bila masa. Jadi kat sinilah Azim dapat tenangkan diri. Sungai ni, pokok-pokok ni semuanya mengingatkan Azim pada Tuhan." Kini, barulah Azim berterus terang mengapa dia ke sini selalu.
Mak Senah sekadar tersenyum dan mengangguk tanda merestui anak sulungnya itu. Biarlah anaknya itu membesar tanpa memiliki apa yang anak muda hari ini miliki, asalkan tersemat pada anaknya pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan yang sukar dicari ganti.
Asyraf Alpandi
Comments