Karipap mihun buat bekal ( Khas Untuk Hari Ibu )
Disember 2012
Kereta Mercedes jenis E220 yang aku pandu berlabuh di bawah garaj rumah. Mak yang berada di tempat duduk belakang masih lena dengan mulut ternganga dan berdengkur. Bapak pula sejak dari Bukit Sagu tadi sudah sedar, matanya awas melihat aku yang baru belajar memandu jarak jauh dari Segamat ke Felda Cerul yang aku rasa hampir 200km.
Sejujurnya, aku sendiri masih terkilan sehingga kini mengapa mak dicampakkan ke sini dengan usianya yang mencecah siri 50, jauh ke dalam pedalaman yang serba serbi kekurangan dan berjauhan dengan keluarga tercinta. Sudah hilangkah sifat kemanusiaan meletakkan seorang wanita berusia, berbadan sedikit besar berseorangan di tempat yang sunyi dan jauh dari anak dan suami. Tuhan lebih tahu menilai kerja kalian masa itu.
Malam itu, aku membantu bapak mengangkat beberapa botol air bersih yang sempat kami beli di pekan sebelum masuk ke felda ini. Mak pula sedang bersandar di kerusi malas menonton televisyen rancangan kegemarannya, Buletin Utama.
"Mak, nanti kita buat karipap inti mihun boleh..?" Dengan nada bersahaja dan tersengeh manja, aku meminta satu menu yang sekian lama tak dinikmati.
"Bolehhh, mihun pun ada lagi kan. Kejap lagi mak uli tepung." Jawab mak. Bila mak menjawab sebegitu, terasa sebak juga. Eh kenapa? Sebab usia yang mula dewasa, aku mula merasai mungkin tidak lama aku dapat bergurau meminta itu ini dengan bergurau manja bersama mak.
"Senang je buat ni. Pergi ambil dulang, mak nak uli tepung." Aku mengikut saja asalkan karipap mihun siap dengan jayanya.
"Mak, esok mak kerja sampai pukul berapa?"
"Macam biasa, tengah bulan ni tak banyak sangat kerja." Mak membalas sambil lidahnya bermain-main dengan gigi palsunya.
"Kalau mak dah tak ada nanti, jaga adik beradik elok-elok."
"Eh mak ni, mak nak botol kaca tak. Ni nanti nak lenyek tepung ni."
"Haah ambil kat bawah peti sejuk."
Aku lingkas berdiri, dengan air mata bertakung menyesakkan dada. Manakan tidak ayat sebegitu boleh menggugah kepiluan hati seorang anak. Sebab itu aku pantas mengubah topik bualan.
"Ok dah siap.." Seulas senyum meniti di bibir mak. Mungkin itu adalah senyuman paling ampuh dalam menitip kasih sayang kepada anak-anak.
Aku bangun sekali lagi untuk menggorang karipap tersebut. Bab menggorang tiada masalah bagiku, asalkan otak tak lupa untuk memaling, tangan pula tak menggatal membuka api sebesar semesta.
Akhirnya, karipap mihun itu dapat aku nikmati sepuasnya dalam kedinginan malaam. Esok pasti aku akan gorang lagi!
Pusat Perubatan Universiti Malaya 2013
Jam menunjukkan 1.00pagi. Aku masih berada di dalam wad tempat mak ditempatkan. Saudara mara masih ada yang bersamaku dan ada yang sudah pulang. Aku berulang alik dari wad ke kaunter jururawat.
"Nurse, mak saya macam ada kahaklah.."
"Hmm..itu bukan kahak dik, itu bunyi salur pernafasan." Aku berjalan lemah lagi ke wad. Melihat keadaan mak yang sangat lemah dengan bantuan pernafasan begitu sangat menyeksakan emosi.
Aku terlena di dinding untuk seketika setelah seharian tidak melelapkan mata. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bapa saudaraku. Kini kulihat ibuku berada dihujung usianya. Aku lingkas bangun, membisik syahadah dan dalam keadaan penuh emosi itu aku bisikkan,
"Ayap akan doakan mak setiap masa.."
Akhirnya, janji Tuhan itu tetap dan pasti. Mak bertemu dengan penciptanya dan pencipta kita semua.
30 November 2014
Tepat jam 11pagi aku menaiki bas ekspress bersama isteri. Kami dalam perjalanan ke Terminal Bas Selatan untuk menuju ke KLIA2. Perjalanan kami memang aku sengaja merancang untuk hanya menaiki pengangkutan awam sahaja. Dalam perjalanan, isteriku membuka bekal makanan untuk mengalas perut. Perkara yang paling mengujakan adalah apabila aku mula memakan karipap yang dibekalkan itu penuh dengan mihun! Ya, karipap mihun, yang sekian lama aku tidak nikmatinya.
Sambil kuih tradisi itu aku kunyah, mataku meliar ke luar tingkap. Terbayang-bayang saat susuk tubuh seorang wanita berbadan besar, dalam susah payah menguli tepung, sempat melemparkan kata nasihat dan menguntum senyum tanpa keluh padaku.
Sejurus itu aku berdoa, jauhkanlah emakku daripada siksa kubur, masukkanlah dia ke dalam syurgaMu dan bahagiakanlah hidupnya di sana.
Aku tidak mahu menangis. Aku cuma mahu kuat untuk aku juga mampu ke syurga untuk bersama-sama dengan mak dan semuanya di sana.
Karipap mihun mak memang terbaik.
Selamat Hari Ibu.
Asyraf Alpandi
Comments