Motivasi : Keluhan Intan


Image result for rumah usang



“Abang…bila kita nak pindah rumah baru ? Dah makin sempit rumah kita ni. Anak-anak pun dah makin besar.” Intan merungut. Rahmat hanya mendengar sahaja sambil mengasingkan tin minuman dan botol plastik yang baru dikutipnya tadi.

Sejak kebelakangan ini, isterinya sering meluahkan rasa tidak selesa berada di rumahnya kini. Keadaan rumah yang sempit, hanya ada sebuah bilik untuk mereka suami isteri dan ruang tamu yang bersambung dengan dapur. Itu belum dikira dengan barang-barang mereka sekeluarga dan empat orang anaknya.
Ruang tamu pula menjadi tempat untuk anak-anak mereka beradu. Di situlah juga tempat mereka melayani saudara mara ataupun rakan-rakan yang dating sebagai tetamu. Jika dahulunya anak mereka baru seorang, mungkin belum cukup terasa. 

Kini sudah bertambah kepada empat orang. Itulah antara sebab mengapa Intan sering merungut untuk berpindah ke rumah yang baru.

“Nantilah abang tanyakan kawan-kawan kalau ada rumah sewa lain. Nak dapat rumah sewa murah macam ni memang mustahillah kalau duduk di Kuala Lumpur ni.” Lama menunggu, barulah Intan mendengar jawapan daripada suaminya. Hatinya turut mengakui memang agak sukar untuk mendapatkan rumah sewa yang murah di ibu kota ini. Tetapi, keadaan sudah cukup memaksa baginya.

“Ibu! atap dapur bocor..” Kedengaran suara anak sulung mereka, Hafizah bersuara. Intan berhenti melipat kain dan segera ke dapur.

“Ya Allah… Abang! Atap dapur bocor ni. Habis air mengalir sampai ke ruang tamu. Hish…” Intan mengeluh lagi. Hatinya semakin meronta untuk berpindah dari situ. Walau sewanya murah, tetapi kadangkala kos baik pulih rumah juga agak mahal.

Rahmat memanjat tangga rumah dengan tenang dan terus menuju ke dapur. Dia memerhatikan kebocoran atap dapur rumahnya dan terus memikirkan jalan penyelesaian. Begitulah sikap seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab sepertinya.

“Haah bocor. Tak apa, nanti abang baiki. Boleh tampal tu. Sikit je.” Rahmat tenang memberikan respon. Melihat anak sulungnya berlalu pergi, dia menarik lengan isterinya dan mengajaknya duduk di kerusi.

“Intan, abang bukan tak mahu pindah rumah. Tapi pendapatan abang hanya mampu untuk menyewa rumah ni saja buat masa sekarang. Belanja anak-anak pun dah makin bertambah. Harap saying faham ya.” Rahmat cuba memulakan pujukan.

“Hmm..Intan faham, tapi kita kena juga usaha untuk pindah dari sini. Nanti Intan dah pandai menjahit, bolehlah tambah duit poket family kita.” Intan mula lembut hati untuk menerima pujukan suaminya.
Malam itu hujan turun semakin lebat. Mujurlah Rahmat sempat membaiki atap dapur sebelum hari semakin gelap. Jika tidak, pasti anak-anaknya terpaksa berhimpit untuk mengelakkan ruang tamu yang ditakungi air.

Jam menunjukkan 11 malam. Rahmat masih tidak naik ke dalam rumah kerana sibuk menyediakan barang-barang kitar semula yang akan dijual esok petang. Dia bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat swasta di sebelah pagi dan petang dia akan mencari-cari barangan seperti tin, botol plastik dan surat khabar lama untuk dijual. Semuanya dilakukan untuk menyara keluarga kecilnya.

Intan pula sedang sibuk menjahit pakaian hasil tempahan beberapa kenalannya. Sejak dua bulan lalu, dia sudah mula mengambil tempahan menjahit pakaian untuk menampung perbelanjaan keluarga. Tiba-tiba dia berhenti menjahit. Melihat keempat-empat anaknya sedang lena tidur, hatinya terusik mengenangkan nasib anak-anaknya yang terpaksa tidur berhimpit dalam ruang yang agak sempit. Dia meraut-raut lembut rambut anak bongsunya yang pastinya belum mengerti erti kehidupan bekeluarga dan perjuangan hidup. Dia tekad untuk memastikan mereka sekeluarga akan dapat pindah juga.

Suasana pagi di kota raya bingit dengan bunyi kenderaan dan kesibukan manusia berpusu-pusu keluar mencari rezeki. Berbeza dengan suasana di kampung yang lebih tenang dengan kemerduan burung berkicip dan angin segar yang membuai pepohon.

Intan bersama anak bongsunya sudah 10 minit menunggu rakannya di sebuah restoran berdekatan dengan rumahnya. Agenda hari ini adalah dia ingin bertanyakan berkenaan rumah sewa yang boleh mereka sekeluarga duduki kepada rakannya.

“Assalamualaikum Intan. Sorry.. jalan jem sikit tadi. Lama dah tunggu?” Rafidah menyapa dan terus meminta maaf atas kelewatan.

“Waalaikumussalam. Eh tak adalah. Aku pun baru sampai ni.” Intan memahami keadaan jika memandu di kota raya yang sibuk terutamanya Kuala Lumpur.

“Ni..Fidah. Aku sebenarnya nak cari rumah lainlah. Rumah aku tu dah sempit. Tak selesa nak duduk dah.”

“Ouh, kau nak cari rumah sewa lainlah ni.. Hmm setakat yang aku tahu ada dekat dengan rumah aku tu. Harga sewanya dalam seribu seratus sebulan.”

“Ish mahal tu Fidah. Mana mampu suami aku nak bayar.”

“Hmm..nak cari yang murah memang susah Intan kat bandar ni.”

Akhirnya, rakannya juga buntu untuk membantu Intan mendapatkan rumah sewa yang lebih selesa dan berpatutan. Mereka menyambung perbualan lebih berkisar kepada keadaan keluarga sahaja selepas tiada kata putus yang dapat dibuat.

“Eh, jom teman aku pergi tengok jualan barangan terpakai kat kedai bundle nak?” Rafidah memberi tawaran.

“Jom, boleh juga. Lama aku tak keluar jalan-jalan.” Intan bersetuju.

Dalam perjalanan, Rafidah memakir kereta di bahu jalan berdekatan dengan pondok menunggu bas untuk ke sebuah kedai alat tulis. Intan hanya duduk di dalam kereta kerana tiada barang yang hendak dibeli di situ, apatah lagi dengan ketiadaan wang. Sedang sibuk mengelamun di tingkap kereta, dia dikejutkan dengan suara herdikan seorang lelaki.

“Ambik kota-kotak kau ni, jangan tidur kat sini. Orang tunggu bas nak duduk sini, bukan jadi tempat tidur kau.” Seorang lelaki berkemeja lengan panjang, berkasut hitam kilat mengherdik dan menghalau seorang wanita tua yang sedang tidur di atas bangku pondok menunggu bas.

Terkocoh-kocoh wanita itu membawa kotak alas tidurnya pergi dari situ. Kejadian itu membuatkan jiwa Intan tersentuh. Dalam rungutannya hendak mendapatkan rumah yang lebih selesa, ada lagi yang berbumbungkan pondok awam dan beratapkan langit.

“Intan…Intan..! Kau termenung apa?” Sapaan Rafidah membuatkan Intan terkejut serta merta.

“Eh taka da apalah. Kau ada nak pergi mana-mana lagi ke? Aku ingat nak balik, Azif tidur dah ni. Kesian pulak tengok dia.”

“Taka da. Ok, aku hantar kau balik eh.”

Setibanya di rumah, Intan bersiap-siap untuk menyediakan hidangan minum petang sebelum suaminya pulang. Dalam ketekunannya membancuh air teh panas, dia teringat kembali peristiwa wanita tua yang dihalau di pondok menunggu bas di bandar tadi.

“Apalah nasib perempuan tua tu. Kat mana dia tidur malam ni. Makan pulak macam mana..” Hatinya berbisik. Jauh di sudut hati dia sangat kasihan melihat nasib perempuan tersebut.

Bunyi motosikal suaminya membuatkan Intan tersedar daripada lamunannya. Dia segera membawa hidangan yang telah siap itu ke pintu hadapan rumah berdekatan dengan tangga. Selalunya di situlah mereka sekeluarga agak melepaskan lelah bekerja sambil minum petang.

Intan melihat keadaan suaminya yang kelihatan sangat penat. Peluh di wajahnya mengalir, bajunya basah dek keringat bekerja sepanjang hari. Hatinya bertambah sayu. Terdetik rasa kesal di hatinya kerana selalu mendesak suaminya untuk mendapatkan rumah yang baru.
“Alhamdulillah..sedapnya air sayang buat ni.” Berbunga hati Intan mendengar pujian suaminya.

“Intan minta maaf abang. Sebab selalu desak abang nak pindah rumah lain.”

“Eh. Kenapa tiba-tiba Intan cakap macam tu..?” Rahmat bertanya.

“Tak ada apalah abang…hehe.” Intan tersenyum malu. Kini, dia berasa sangat bersyukur. Walaupun rumahnya kecil, tetapi sekurang-kurangnya dia ada ruang untuk berteduh daripada hujan dan panas. Tambahan pula melihat anak-anak masih mampu bergembira bermain dan suami yang bertanggungjawab, biarlah rumahnya ini kecil, tetapi cukup besar untuk merasai kebahagiaan.

Asyraf Alpandi


Comments

Popular Posts