RAMADHAN : MAAF AKU MASIH SIBUK


 MAAF AKU MASIH SIBUK : MONOLOG

10 hari ramadhan berlalu pergi. Kini aku masih sibuk menguruskan hal dunia. Sedang bulan sebelumnya pun sudah begitu situasinya. Solat kadangkala sekadar melunaskan kewajipan, khusuk dan ikhlasnya seakan memudar.

Bulan ini ramai sahabat-sahabat berlumba menggandakan amalan, tetapi aku pula kerap tertidur kerana kelelahan mengurus emosi manusia dan menyusun kerja. Ini bukan ramadhan yang aku harapkan. Impianku bulan ini adalah satu kerehatan untuk rohaniku. Lebih tenang beribadah, lebih manis ketika mengalunkan firman Tuhan dalam kitab paling mulia.

Kerap kali emosi ini dicalar dengan hal keduniaan, sehinggakan keindahan ramadhan ini tidak dinikmati sepenuhnya.

Maafkan aku kerana masih sibuk.


BELUM TERLAMBAT UNTUK KEMBALI 

Ramadhan ini adalah hadiah. Satu rezeki yang kadangkala kita lupa untuk hargai sebaiknya. Tumpuan kita mudah lari kepada hal yang melalaikan. Misalnya perancangan untuk baju raya yang paling cantik, kereta yang megah dan rumah yang paling indah untuk dikunjungi ramai kelak.

Dengan itu, kita mula sibuk dengan persediaan berhari raya, walaupun ramadhan ini baru berlalu tidak sampai seminggu. Bukanlah satu kesilapan untuk meraikan perayaan, tidak sama sekali. Tetapi apabila masa kita sudah terlalu banyak habis dalam hal itu, sehinggakan membawa kepada kelalaian, mungkin perlu untuk kita kembali muhasabah dan besederhana.

Ramadhan ini nikmat yang Tuhan berikan sebulan dalam setahun, untuk kita merasakan satu pesta ibadah. Sewajarnya, dalam kesibukan hal dunia. Kita berhenti sejenak dan nikmati semula apa yang dihidangkan ramadhan kepada umat islam. Lihatlah betapa ramai orang berlumba-lumba menambah amal, membaca al-quran sebanyaknya. Malah, bertahajud pula lebih mudah dilakukan berbanding bulan-bulan yang lain. Sedekah dan infaq pula tidak putus-putus dihulurkan. 

Ramadhan masih berbaki, rebutlah peluang merasai kemanisannya selagi ada. Tahun akan datang, belum tentu kita masih di dunia lagi.


SIBUKLAH KERANA IBADAH

Bagi memastikan kesibukan kita bukanlah satu hal yang sia-sia, maka mulakanlah perjalanan kerja kita kerana Allah SWT. Kita berpenat kerana mencari rezeki untuk keluarga. Kita bersabar dengan pelbagai sikap manusia sambil berpuasa, itu juga satu bentuk kebaikan. 

Masa kita mungkin habis di tempat kerja dan di jalanan, tetapi pusatkanlah segala kesibukan itu kerana mencari kasih sayang Allah. Lazimkanlah zikir yang ringkas ketika kita bekerja di bulan puasa, mudah-mudahan ianya menjemput rezeki yang tidak dijangka di bulan yang mulia ini.

Kesibukan kita itu lumrah dalam kerjaya, tetapi niat kerana ibadah itulah yang istimewanya.

Selamat mencari dan menikmati keindahan bulan Ramadhan.




Comments

Popular Posts