2/15 Siri Ramadan : Rehat & Rawat
Pembuka Kata
Bermusafir dalam satu perjalanan yang panjang memerlukan seseorang untuk berhenti seketika.
Berhenti untuk merehatkan badan.
Berhenti untuk melihat semula segala keperluan.
Berhenti untuk bersedia dengan semangat baharu, untuk sampai ke destinasi.
Sebagai manusia, begitulah hendaknya kehidupan kita, seperti sabda Rasulullah SAW ;
“Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau musafir.”
Justeru, penulis ingin mengajak para pembaca memaknai ramadan kali ini sebagai satu persinggahan bagi ‘rehat dan rawat’ diri kita sebelum menempuh bulan-bulan berikutnya.
Rehat & Rawat Emosi, Rohani
Apabila Allah SWT memerintahkan umat baginda Rasulullah SAW berpuasa, ada satu matlamat yang telah jelas ditetapkan, yakni ;
‘Menjadi insan bertakwa.’
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah, 2:183)
Makna kata, selesai ramadan ini, dan menyelusuri hari yang mendatang, kita seharusnya berperilaku dan menjalankan tugas seorang hamba bersama dengan pelbagai sifat ketakwaan.
Sebab itu, ramadan ini perlu kita jadikan satu tempat persinggahan, untuk kita membersihkan diri meminta keampunan, meraih semangat untuk menjadi hamba Tuhan yang lebih baik. Bahkan, ramadan inilah R&R terbaik untuk kita menyusun semula disiplin dalam mengerjakan amal-amal dengan lebih baik.
Didalamnya tersedia suasana amal kebaikan yang begitu mendamaikan.
Bersamanya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Disaat ini juga semua kebaikan berlipat ganda pahalanya apabila dikerjakan.
Rehat & Rawat Fisioligi
Tidak kurang juga diantara kita yang melihat Ramadan ini sebagai satu ruang untuk meraih semula berat badan ideal, menjaga pemakanan, dan memastikan tubuh badan lebih sihat untuk beribadah.
Teruskanlah, selagi mana ianya didasari dengam niat yang baik untuk diri sendiri. Percayalah, kesihatan adalah satu aset yang sangat mahal dalam beribadah.
Tanpa tubuh badan yang sihat, mungkin ibadah yang dikerjakan akan dirasakan kurang selesa.
Sudah banyak kajian yang membuktikan amalan berpuasa ini memberikan kesan yang positif kepada kesihatan tubuh badan.
Maka dengan itu, ambillah peluang ramadan ini, untuk kita ‘reset’ semula pemakanan kita supaya lebih seimbang, seterusnya menjadikan tubuh badan kita lebih sihat, bertenaga untuk menjalani aktiviti harian.
Penutup
Kita masih berada di fasa awal bulan yang mulia ini. Jadikanlah bulan ramadan ini sebagai persinggahan untuk merawat jiwa, merehatkan emosi, juga menyusun semula disiplin untuk kesihatan diri sendiri.
Semoga ‘persinggahan’ di bulan ini menjadikan kita insan yang lebih baik apabila ‘perjalanan’ diteruskan tatkala ambang syawal bermula kelak.
Mari, hargainya selagi ada!
