1/15 Siri Ramadan: Masa Membina Kekuatan
Semua orang punya tanggungjawab dan cabaran hidup tersendiri. Barangkali yang membuatkan kita letih itu kerana terlalu memikirkan nasib diri sendiri yang tidak sebaik orang lain. Mungkin sahaja, kerana kekuatan dalam diri belum cukup untuk mengimani bahawa ;
Dunia ini memang tempat yang teramat penat.
Kesibukan kita bekerja mungkin tidak sama dengan bulan yang lain. Bulan ini jugalah, kita merasai suasana ibadah yang cukup berbeza. Justeru, ramadan hadir bersama pakej tawaran yang cukup lumayan, yakni untuk kita membentuk semula diri sendiri.
Hakikat Bahagia & Ujian Dunia
Kebahagiaan sebenar boleh dijelmakan, dengan syarat kita bersyukur dengan apa yang telah kita miliki hari ini.
Dunia ini memang tempat ujian. Tetapi ujian itu pun diselangi dengan banyak kemudahan-kemudahan dan kenikmatan yang kita sering ketepikan.
Di bulan istimewa inilah, tempat untuk kita tunjukkan usaha yang terbaik sebagai hamba Tuhan. Lumrahnya, kita akan tertekan dan merasakan kelelahan. Cuma, jangan pula kita berterusan untuk berasa lemah dengan apa yang berlaku. Carilah ruang untuk kembali. Walaupun langkahnya itu mungkin perlahan.
Ramadhan : Masa Untuk Kita Kembali Kuat
Bulan yang mulia ini cukup istimewa. Suasananya jauh berbeza berbanding bulan-bulan yang lain. Ianya lebih menenangkan kerana dipenuhi dengan amal kebaikan.
Semua orang berebut untuk berikan yang terbaik. Kerana di bulan inilah masa untuk amal-amal dapat digandakan. Akhirnya, dengan amal yang ikhlas, membuahkan hati yang bersih untuk dibawa ke bulan seterusnya.
Saat inilah kita boleh bermula. Bermula untuk meraih kekuatan daripada siri-siri ibadah malam yang pastinya dapat menguatkan jiwa dan merehatkan rohani.
Hasilnya, mudah-mudahan menjadi penguat untuk berhadapan dengan rencam dunia yang pelbagai, hari demi hari.
Dunia ini memang melelahkan, tetapi rehatlah dengan solat, berdoa dalam keadaan yang tenang, membaca al-quran walaupun sedikit, dan berbuat kebaikan kepada sesiapa pun dengan apa yang kita mampu.
Ramadan kali ini, mari kita bentuk versi diri kita yang lebih kuat. Mari, kita mulakan !