5/15 SIRI RAMADAN : DI BAWAH LANGIT RAFAH (CERPEN BERTEMAKAN GAZA)





 

    Dentuman demi dentuman bom kedengaran sejak subuh tadi. Ammar dan sahabatnya Ahmad masih di dalam terowong. Lebih tepat, mereka sudah hampir seminggu tidak keluar kerana terperangkap. Hanya ada satu sahaja laluan keluar, tetapi ruang itu adalah zon bahaya untuk mereka redah.


“Ahmad! Bukan ini masanya untuk keluar menemui musuh.” Suara Ammar sedikit meninggi.


“Tapi kita dah terperangkap di terowong ini untuk satu minggu Ammar. Kita kena buat sesuatu. Ramadan ini sudah cukup mulia untuk kita syahid bersamanya.”


    Dahi Ammar berkerut. Hatinya tidak lekang mengulang janji bahawa tiada Tuhan selain Allah. Sesekali terimbas wajah isteri dan anaknya Maryam yang telah pergi dahulu menemui Maha Pencipta.

Ammar dan Ahmad adalah dua pejuang pembebasan Palestin yang berpengkalan di Gaza. 


    Tugas utama mereka adalah untuk menggali terowong untuk menyambungkan bahagian daripada sempadan Rafah sehingga ke Abasan al-Kabira. Sebelum ini sudah ada rangkaian yang dibuat, tetapi telah dimusnahkan oleh tentera zionis.


Imbas Kembali


    Ammar berdiri di balkoni rumahnya. Matanya memandang jauh ke hadapan, melihat api yang marak di perkampungan berdekatan akibat dibedil jet pejuang tentera zionis. Kawasan rumahnya ketika ini masih terselamat. Dia sedar, inilah perjuangan. Tidak akan dihamparkan dengan karpet merah untuk meraih kebebasan negara kelahirannya.


“Abang akan pergi juga?” Saadah bertanya untuk kepastian. 


“Ya. Abang perlu bergegas ke medan. Panggilan kecemasan dan arahan sudah pun abang terima. Ini janji taat setia abang untuk agama dan tanah air. Semoga Allah pelihara kamu dan Maryam.” Matanya dipejamkan. Perlahan-lahan setitis air jernih mula membasahi pipi.


“Ke arah mana pula kali ni sayang akan bertugas?” Soal Saadah pasrah.


“Maaf, soal itu adalah satu kerahsiaan yang perlu abang jaga. Selesai kita berjemaah subuh nanti, abang akan terus pergi.”


Saadah menangis teresak-esak. Walaupun rakyat Palestin digambarkan sebagai bangsa yang tabah menghadapi ujian paling berat seperti hari ini, tetaplah dia juga manusia biasa. Punya kasih sayang dan rindu apabila berjauhan dengan insan yang dikasihi. Apatah lagi ianya dipisahkan dengan sempadan hidup mahupun mati.


Ammar mendekati Saadah, lalu mendakap anaknya Maryam yang baru berusia beberapa bulan. Dikucupnya dahi puteri sulungnya itu, dirangkul penuh perasaan. Seakan-akan itulah kali terakhir dia akan dapat menghidu haruman syurga daripada bayi seperti Maryam.

....

 

 

    Langit di Rafah tidak lagi membiru, tetapi bertukar kelam dan kemerahan. Debu berterbangan seperti abu mimpi yang hangus. Dentuman tidak lagi menggetarkan jiwa, ia sudah menjadi  kebiasaan penduduk tempatan. 


    Di dalam terowong rahsia pasukan Elit Pejuang Pembebasan Palestin (PPP) , Ammar dan Ahmad terus menggali. Dalam suasana gelap, sempit, dan lembap, ditemani dua buah lampu suluh sederhana. Namun, dalam kegelapan itulah satu-satunya cahaya harapan yang mereka dan bangsa mulia ini letakkan. 


    Hari demi hari berlalu, seakan-akan dunia ini tidak punya waktu. Kadangkala mereka berdua hanya mengalas perut dengan beberapa biji kurma sahaja. 


Telefon bimbit Ammar berbunyi. Pantas dia menjawab panggilan.


“Pihak musuh sudah mula mengesan aktiviti kita di sana. Kalian berdua perlu cepat untuk keluar dan kembali ke pusat operasi.” Arahan ringkas diberikan.


“Berapa lama masa yang kami ada?”


“Tidak pasti. Cuma laporan yang kami terima, mereka sudah mula masuk bersama batalion jentera berat.”


“Kami tidak ada senjata. Kami hanya ada kapak dan peralatan menggali sahaja.” Ammar cuba untuk mendapatkan bantuan bersenjata.


“Nanti....” Panggilan terputus.


DUM ! DUM ! DUM !


    Beberapa bom mortar jatuh tepat di atas tanah terowong tempat mereka bergerak. Ahmad dan Ammar tertunduk. Tanah yang belum diperkukuh jatuh bertaburan, melekat di tubuh mereka yang sedia lencun dengan peluh perjuangan.


“Kita kena keluar segera Ammar. Cepat!” Ahmad memberikan arahan.


    Mereka berlari dicelah-celah kesukaran tanah yang menimbun, becak dan bunyi dentuman bom yang belum berhenti. Akhirnya, mereka menemui jalan buntu. Laluan keluar yang sepatutnya, telah tertimbus sepenuhnya. Kini, mereka cuma ada satu sahaja laluan. Tetapi laluan itu telah dikenalpasti terlebih awal, bahawa ianya dikawal pihak musuh.


Seminggu berlalu


“Ahmad! Bukan ini masanya untuk keluar menemui musuh.” Suara Ammar sedikit meninggi.


“Tapi kita dah terperangkap di terowong ini untuk satu minggu Ammar. Kita kena buat sesuatu. Ramadan ini sudah cukup mulia untuk kita syahid bersamanya.”


Dahi Ammar berkerut. Hatinya tidak lekang mengulang janji bahawa tiada Tuhan selain Allah. Sesekali terimbas wajah isteri dan anaknya Maryam yang telah pergi dahulu menemui Maha Pencipta.


“Sama ada kita mati kerana kebuluran di sini, atau kita syahid bersemuka dengan zionis yang dilaknat.” Ammar menyentuh bahu Ahmad.


Sahabat seperjuangannya itu tertunduk. Akur, inilah kemuncak perjuangan mereka.


“Hidup mulia, atau mati syahid. Mari sahabatku!” Ahmad meniupkan obor semangat dan bersetuju dengan cadangan Ammar.


Mereka melangkah perlahan, berbekalkan sebilah kapak dan bergerak ke pintu keluar yang pastinya sudah dikepung oleh pihak zionis.


“Kau tunggu di sini. Biar aku keluar pantau keadaan luar tu.” Ahmad memberi cadangan.


“Baik. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih.” Balas Ammar bersemangat.


Beberapa minit berlalu, Ahmad sudah berjaya memanjat dinding tanah yang sedikit tertutup. Dia menjengah keluar dan melihat beberapa kereta perisai dan anggota pihak musuh sedang berkawal. Baru dua langkah dia bergerak, di ditembak di bahagian dada. Tepat mengenai jantung. Darah mengalir deras. Lidahnya kelu, hatinya mengucap mengimani Tuhan yang Satu. Akhirnya, tubuhnya rebah. Terhumban betul-betul di hadapan Ammar.


“Allahuakbar Ahmad !” Teriakan Ammar ditahan-tahan agar tidak kedengaran. Dia menangis bersama tubuh yang sudah lelah tiada tenaga.


Kedengaran beberapa tembakan yang semakin menghampiri. Ammar menggenggam kapak yang menjadi senjata terakhirnya saat ini. Dia berundur beberapa langkah untuk bersembunyi. Bukan kerana takut, tetapi strategi untuk mengumpan musuh.


Seorang tentera zionis berpakaian lengkap dengan senjata canggih mula memasuki terowong. Lampu suluh di senapang dinyalakan. Terus libasan pertama diberikan Ammar tanpa belas kasihan. Tangan penjajah itu putus serta merta, lantas Ammar menghayun kapaknya sekali lagi tepat di dada musuh.


CAK ! 


Darah memancut keluar.


“Itu balasan untuk sahabatku.” Gumam Ammar.


Seorang lagi tentera musuh yang melihat kejadian tersebut terus memanggil rakannya yang lain. Ammar menderu mendapatkan penjajah tersebut.


BOM !


Ammar terpelanting. Tubuhnya hancur separuh badan. Nyawanya sudah dipenghujung masa. Sakarat mula menjengah, tetapi entah mengapa, rasanya inilah paling indah. Dia melihat isterinya dan anaknya melambai-lambai sambil tersenyum.


Ketika dia pulang sebentar beberapa minggu yang lalu, khabar berita menyatakan isteri dan anaknya sudah pun syahid terlebih dahulu. Tiada apa yang mahu dipertahankan lagi, selain agama dan tanah suci ini.

Lidahnya menyebut Lailahaillallah lalu matanya terpejam menutup perjuangannya demi bangsa dan tanah air tercinta. Tembakan masih bergema. Penjajah bertalu-talu menembak jasad Ammar yang sudah kaku.


Di bumi berkah ini, seorang lelaki telah gugur bersama pengorbanan yang tidak terbayang oleh manusia biasa. Menahan lapar, menggali terowong demi meneruskan perjuangan, meninggalkan keluarga semata-mata untuk membebaskan sebuah negara yang dijajah tanpa rela.


Dan hari ini, terowong itu menjadi saksi. Sebuah nama yang tidak terkenal di mata dunia, tetapi disebut-sebut sebagai antara penghuni yang bahagia, di syurga.

 

 ....


Kisah ini adalah inspirasi daripada seorang mujahidin yang telah syahid dalam peperangan Taufan Al-Aqsa. Penceritaan ini diolah dalam bentuk fiksyen yang direka supaya lebih ringkas untuk difahami tetapi ada menfaat bersama. Mudah-mudahan. 


Teruskan berdoa untuk saudara kita di Palestin di bulan yang mulia ini !