3/15 SIRI RAMADAN : MAAF AKU MASIH SIBUK

 

PEMBUKA KATA : SEBUAH MONOLOG 

‘6 hari ramadan telah pun berlalu pergi. Kini aku masih sibuk menguruskan hal dunia. Sedang bulan sebelumnya pun sudah begitu situasinya. Solat kadangkala dalam keletihan, khusyuk beribadah entah dimana letaknya. Semua demi mengejar itu dan ini yang tidak pernah ada noktahnya.’

‘Bulan ini aku lihat, ramai sahabatku berlumba menggandakan amalan. Juzuk demi juzuk Al-Quran mereka tamatkan. Aku juga mencuba, tapi masih seakan sampan teroleng-oleng dipukul ombak dunia.
Impianku, bulan ini adalah satu kerehatan untuk rohaniku. Lebih tenang beribadah, lebih manis ketika mengalunkan firman Tuhan bersama kitab paling mulia.’

‘Kerap kali masa begitu cemburu, sehingga kemanisan bersama ramadan ini kurang dinikmati.’

‘Maafkan aku ramadan, aku masih sibuk.’

MEMAKNAI SEMULA

Menemui ramadan merupakan satu rezeki. Rezeki yang kadangkala kita lupa untuk hargai sebaiknya. Kita minta untuk sampai kepadanya, dan hari ini kita sudah pun bersama dengannya.

Seandainya ramadan ini kita lalui berbeza dengan orang lain, tidak mengapa. Coraklah dan susunlah masa dan amal kalian mengikut kemampuan. Sedikit tidak bermakna kita seorang yang alpa. Kadangkala yang kecil itulah rezeki amal yang diterima. 

Lain rumah, lain halamannya. Seandainya kita sibuk bekerja, niatlah supaya setiap rasa penat itu adalah untuk mencari rezeki buat keluarga.

Dunia akan jadi bermakna, apabila kita gunakannya untuk mengejar dunia selepasnya, yakni akhirat, tempat yang kekal buat selama-lamanya.

HARGAILAH IA UNTUK KALI INI

Ramadan ini, kadangkala tidak membuatkan kita lari dari hal yang melalaikan. Misalnya menghabiskan masa dengan media maya, melihat dan mendengar hal-hal yang kurang bermanfaat.

Ramadhan ini nikmat yang Tuhan berikan sebulan dalam setahun, untuk kita merasakan satu pesta ibadah. Sewajarnya, dalam kesibukan hal dunia. Kita berhenti sejenak dan nikmati semula apa yang dihidangkan ramadan buat kita. Lihatlah betapa ramai orang berlumba-lumba menambah amal, membaca al-quran sebanyaknya. Malah, solat berjemaah pula lebih mudah dilakukan berbanding bulan-bulan yang lain. Sedekah dan infaq pula tidak putus-putus dihulurkan. 

Ramadhan masih berbaki, rebutlah peluang merasai kemanisannya selagi ada. Tahun akan datang, belum tentu kita masih di dunia lagi.

PENUTUP : MEMUJUK DIRI

Bagi memastikan kesibukan kita bukanlah satu hal yang sia-sia, maka mulakanlah perjalanan kerja kita kerana Allah SWT. Kita berpenat kerana mencari rezeki untuk keluarga. Kita bersabar dengan pelbagai sikap manusia sambil berpuasa, itu juga satu bentuk kebaikan. 

Masa kita mungkin habis di tempat kerja dan di jalanan, tetapi pusatkanlah segala kesibukan itu kerana mencari kasih sayang Allah. Lazimkanlah zikir yang ringkas ketika kita bekerja di bulan puasa, mudah-mudahan ianya menjemput rezeki yang tidak dijangka di bulan yang mulia ini.

Kesibukan kita itu lumrah dalam kerjaya, tetapi niat kerana ibadah itulah yang istimewanya.

Selamat mencari dan menikmati keindahan bulan ramadan kali ini !