4/15 Siri Ramadan : Rezeki Bukan Sekadar Dilihat Tetapi Juga Dirasai
PEMBUKA KATA : HADIRNYA REZEKI
Rezeki kadangkala hadir dalam situasi yang tidak popular dalam kehidupan kita.
Malah, mungkin sebahagian besar daripadanya juga, langsung tidak kita sedari dan hargai.
Ada satu kunci dalam gudang hidup ini, seandainya kita mampu memahaminya, sukarlah macam mana pun, mewahlah dengan harta yang menggunung sekali pun;
Kita akan sentiasa menjadi muslim yang bersyukur dan tenang.
Ianya berkisar tentang, bagaimana kita memahami apa itu R E Z E K I.
MENYINGKAP MAKNA REZEKI
Dalam surah Az-Zariyat, Allah SWT berfirman :
“Dan di langit itu terdapat rezekimu dan apa yang dijanjikan kepadamu.”
Jika hari ini kita merasakan rezeki itu adalah hasil daripada usaha kita semata, percayalah, kita mungkin tersilap dalam menafsirkannya.
Rezeki bukan sekadar apa yang kita lihat di hadapan mata. Ianya juga turut termasuk dengan apa jua yang kita rasa.
Sebab itu rezeki ini datang-Nya dari Allah SWT. Dia lebih tahu rezeki yang bagaimana kita perlukan, berbanding rezeki apa yang kita mahukan.
Mungkin kita fikir wang ringgit adalah segalanya, tetapi tidak pada ilmu Tuhan. Dia berikan kepada kita tubuh badan yang sihat, anak-anak yang menenangkan jiwa, jiran tetangga yang ringan tulang lagi berbudi bahasa. Dimana rezeki kita itu?
Pada kesihatan, ketenangan dan insan-insan yang baik di sekeliling kita.
REZEKI : BAGAIMANA RAMADAN MENGAJAR KITA?
Ketika kita berjuang menahan diri daripada lapar dan dahaga di siang hari, akhirnya kita sedar bahawa, kadangkala sekeping roti bersama dengan seteguk air kosong sejuk sudah cukup untuk melegakan dan mengenyangkan.
Bahkan, sampai satu masa, juadah yang pelbagai rupa dan warna bukanlah kayu pengukur kenikmatan dalam berbuka. Akhirnya, rasa cukup itu lebih mahal ertinya daripada segala apa yang terhidang di depan mata.
Ada orang, hidupnya tidak mewah, tetapi rezekinya punya masa yang lapang untuk beribadah lama di masjid.
Mungkin juga, ada yang rezekinya punya pelbagai jenis kenderaan, tetapi tidak sempat hendak solat berjemaah dan tarawih kerana kesibukan mengurus kerja.
Ramadan mengajar kita, rezeki ini tentang rasa cukup.
Bulan yang mulia ini, mendidik kita, punya ruang untuk beramal adalah rezeki yang tidak ternilai harganya.
Detik ini, kita mungkin belum sedar, bagaimana rezeki yang telah kita miliki sebenarnya cukup banyak sebenarnya.
Selesaikan bacaan tilawah kalian, dan muhasabahlah sebentar, betapa banyak rezeki yang kalian dapat rasai sepanjang ramadan ini.
PENUTUP : MUHASABAH
Jika kita merasakan rezeki itu wang semata-mata, percayalah ianya hanya sebahagian kecil daripada konsep rezeki itu sendiri.
Rezeki bukan tentang apa yang kita berjaya genggam,
tetapi merasai dengan sepenuh jiwa yang tajam.
Mungkin harta kita tidak bertambah,
tetapi Tuhan berikan kita hati yang tabah.
Bahkan, hari ini, mungkin Tuhan tidak berikan hal yang paling kita idam-idamkan,
tetapi dia simpan untuk berikan sebuah kebahagiaan dan ketenangan yang berkekalan.
Membaca penulisan ini juga satu rezeki !