10/15 SIRI RAMADAN : SURAT TERBUKA
PEMBUKA BICARA
Ke hadapan, hamba Tuhan, sebaik-baik ciptaan. Surat ini adalah dariku buatmu, sebagai galang ganti atas kesungguhanmu menjadikan diriku cukup bermakna selama dua puluh hari ini.
Kini, tinggal sepuluh hari sahaja yang tersisa, untuk aku bersama denganmu. Tidak dapat untuk aku mengikat janji, bahawa tahun mendatang, kita akan bersua kembali.
Kelak, apabila kita berpisah, adakah engkau akan melupakanku? Bahkan adakah segala keindahan, ketenangan yang kita kecapi saat ini akan sirna begitu sahaja?
NASIHAT BUATMU
Masihkah engkau ingat, Tuhan kita pernah berfirman ;
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit.”
(Surah Ibrahim: 24)
Justeru, sebagai hamba Allah SWT, suka untuk aku berpesan-pesan dengan kebaikan. Bersama-sama nukilan ini, aku ingin mengajakmu untuk kita menjadi seperti pepohon.
Tidak semua pohon dicipta untuk berbunga indah dan menjadi pilihan ramai. Ada yang hanya dicipta untuk menunjang bumi tanpa buah, tetapi kekal meneduh bumi dan menyumbang tanpa dipuji.
AKAR YANG MENCENGKAM
Akar kehidupan ini adalah iman. Kuatnya keimanan, maka kukuhlah pendirian kita dalam menghadapi pelbagai mehnah dan ujian.
Akar mengajar tentang keikhlasan. Sentiasa menjadi tunjang kepada kehidupan pepohon, walau pengorbanannya sering tidak dilihat.
MEMBERI TEDUHAN DAN KEBAIKAN
Pepohon tidak pernah memilih siapa yang wajar menerima teduhannya. Memberi tanpa mengira status sesiapapun. Memberi tanpa mengharap balasan apa pun, kerana dia mengerti Tuhanlah yang paling layak mengurniakannya nikmat dan rezeki.
Pepohon yang kekal berdiri walau ribut melanda, mengajar kepada kita bahawa, dalam apa jua keadaan sekalipun, pilihlah untuk berada di jalan kebaikan.
Kehidupan kalian juga begitu bukan? Kadangkala duka melanda, sedih mencengkam jiwa, ujian dan kesunyian silih berganti dalam perasaan tenang dan gembira.
AKHIR KALAM
Sampai masanya, aku akan pergi jua. Engkau perlu teruskan hidup dan perjuangan pada bulan-bulan yang berikutnya.
Kerinduan kepadaku tidak mahu aku tanyakan. Terpulanglah kepada engkau. Jika aku ini membawa 1001 kebaikan, barangkali kerinduan padaku akan dibawa bersama untuk bulan mendatang.
Cuma pesanku kali ini, jadilah sepeti pepohon. Belajarlah daripadanya. Dunia mungkin tidak sering melihat apa yang ia lakukan, tetapi ia terus memberi manfaat kepada jutaan hidupan di bumi ini.
Yang benar,
Ramadan Al Mubarak.
