11/15 SIRI RAMADAN : UJIAN HIDUP KITA MEMANG ‘CUSTOM-MADE' ?
PEMBUKA KATA
Walaupun kita sudah pun mendepani pelbagai bentuk ujian, kadangkala ianya bukanlah satu jaminan untuk kita tidak merasakan bahawa ;
'Kenapa masa ni?'
'Orang lain kenapa tak kena?'
'Kenapa mesti jadi dekat aku?'
‘Kenapa mesti macam tu?’
Dan bermacam-macam lagi persoalan tatkala dugaan yang hadir, tidak selari dengan apa yang kita inginkan.
Barangkali keimanan kita yang kadangkala seperti roda, membuatkan kita terlupa, bahawa setiap ujian yang berlaku itu, sudah pun direka khas, special custom-made untuk kita. Sesuai dan sewajarnya untuk kehidupan kita. Ya, ianya disusun dan dibentuk bukan untuk orang lain.
Kerana pada akhirnya, sangkaan baik kita kepada Tuhan sewajarnya merasakan ujian itu bukan untuk menjatuhkan kita, malah menghidupkan.
BUKANKAH ALLAH ITU MAHA TAHU?
"Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Bukanlah Allah SWT itu Maha Mengetahui ?
Dia yang menciptakan, dia jugalah yang menyusun rezeki kepada kita sejak kita belum dilahirkan pun. Seisi langit dan bumi ini dengan mudahnya Allah SWT jelaskan bagaimana ia diciptakan. Bahkan kewujudan kita pun Allah SWT boleh ceritakan secara terperinci dalam Al-Quran.
Inikan pula perjalanan hidup kita. Setiap cabaran yang Allah aturkan sebenarnya banyak menjadikan kita lebih dewasa. Kerana sifat kasih-Nya juga, kadangkala kita diuji supaya tidak beroleh musibah yang lebih besar.
Ujian setiap daripada kita berbeza, kerana Allah tahu jiwa setiap hamba-Nya.
Maka disusun dan diciptakan ujian-ujian itu khusus dan pastinya baik untuk kita, mungkin untuk keluarga kita, ataupun masa depan kita.
HIDUP DI DUNIA MEMANG UNTUK DIUJI
Lumrah bagi kita manusia, untuk meraih hidup yang sentiasa ;
Rasa tenang, rasa bahagia. Tiada kegagalan, tiada kekalahan. Tetapi, hidup di dunia bukan itu resminya.
Disinilah kita akan diuji dengan pelbagai bentuk mehnah, mengikut kehendak Tuhan, yang paling bersesuaian.
Sebab itu, ada hari kita akan merasakan kelapangan, ada ketikanya kita bergelut dengan kegusaran mahupun kesedihan.
Dunia ini bukanlah tempat berehat yang sebenar. Kita ada kehidupan ‘kedua’ yang lebih panjang dan nikmatnya lebih luas berbanding di sini, yakni kehidupan di akhirat kelak.
PENUTUP : BERSANGKA BAIK DENGAN TUHAN
Jika hari ini hidup kita terasa berat,
Satu ketika kita akan lihat, ianya membentuk diri kita dengan versi yang lebih kuat.
Jika hari ini kejayaan yang kita ingini tidak dikecapi,
Satu saat Tuhan akan tunjukkan, bahawa itulah jalan untuk keita meraih kejayaan lebih bermakna, dalam bentuk yang Dia tentukan, pada masa yang Dia tetapkan.
Sentiasalah bersangka baik, walau apa pun bentuk ujian yang sedang kita alami, kerana pada akhirnya ;
Semua ujian itu, ditempa khas, sesuai untuk diri kita bagi waktu sekarang dan masa akan datang.
Kuat ya!