7/15 SIRI RAMADAN : MENCIPTA 'PRIVATE VICTORY'



PEMBUKA KATA : KEMENANGAN KECIL YANG PERLU KITA RAIKAN

Barangkali kita jarang mengiktiraf usaha-usaha kecil untuk memperbaiki diri.
Sedang usaha kecil itu, walau tidak dilihat manusia, tetaplah ianya satu kejayaan.

Kerana Tuhan melihat apa yang kita usahakan, berbanding hasil yang sememangnya pemberian daripada Dia, Tuhan yang Maha Kaya.

Kejayaan kecil itu pula, biar pun hanya kita sahaja yang mengetahuinya. Walau diri kita sahaja yang mengiktirafnya, percayalah, ianya sebuah 'Private Victory' yang tanpa sorakan sesiapa pun, ia tetap akan membina keperibadian dan motivasi diri untuk melangkah menjadi lebih baik.

PRIVATE VICTORY : SEMUANYA TENTANG KITA DAN TUHAN

Kemenangan yang tidak diraikan di mana-mana pentas ini bukan tentang kita dan orang lain. Ianya tentang kita dan Tuhan.

Berjuang dalam keterbatasan kita tersendiri untuk mentaati perintah-Nya.
Bersusah payah untuk menambah amal bagi meraih kasih sayang-Nya.
Menekan hawa nafsu demi keikhlasan yang tidak terlihat oleh manusia lain, semata-mata untuk meraih redha-Nya.

Lain orang, lain kesibukannya, kesihatan, dan tanggungjawabnya.
Maka, usahlah kita menilai diri sendiri dengan membandingkannya dengan orang lain.

Jika dalam pelbagai kekangan, kita hanya mampu untuk membaca dua muka surat Al-Quran sehari di bulan ini, maka bersyukurlah. Mungkin orang lain hanya mampu satu muka atau langsung tidak sempat membukanya.

Andai kita mampu memberi infaq sebungkus makanan berbanding orang lain yang lebih banyak, bergembiralah, kerana kebaikan itu menunjukkan kita tetap punya jiwa untuk berbuat kebaikan.

Sekecil apa pun kebaikan yang kita buat, khususnya di bulan ramadan ini, ianya tetap dilihat. Ia tetap dikira dan dilipagandakan pahalanya.

Justeru, berbahagialah dengan kejayaan itu, walau sekecil-kecil cuma.

PRIVATE VICTORY : MENDIDIK KEIKHLASAN DALAM DIAM

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman : 16)

Ada kala, kebaikan yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan membuatkan kita lebih rasa tenang dan bahagia.
Ada ketika, rukuk dan sujud yang dilaksana tanpa dilihat sesiapa, lebih menguatkan jiwa.
Dalam diam, kita berusaha menanam benih keikhlasan.
Tanpa 'suara', kita bertungkus lumus melawan nafsu untuk hanya beramal kerana Tuhan yang Satu.

Mungkin, dengan segenap usaha mencapai keikhlasan hanya kerana Tuhan, itulah kemenangan yang besar buat kita, walau ianya tanpa pengiktirafan mahupun pujian.

PENUTUP : KEJUJURAN PASTI MENANG

‘Private Victory’ yang kita raikan,
bukanlah terbina kerana sebuah kehebatan diri sendiri,
tetapi kerana kejujuran yang disandarkan kepada Tuhan.

Ramadan kali ini, ciptalah kemenangan kalian tersendiri.
Ingat, walau ia tidak dirai di pentas mana pun, tidak mengapa.
Kerana yang kita mahu ketaqwaan apabila ramadan berlalu.