14/15 SIRI RAMADAN : TIADA APA YANG AKAN KEKAL
PEMBUKA KATA
Manusia sering merasakan, mereka sedang menggenggam dunia ini, seolah-oleh mereka yakin bahawa, masa hadapan berada di genggamannya.
Namun begitu, bagi orang yang beriman, mereka yakin dan percaya bahawa tiada satu hal pun akan kekal, kecuali Allah SWT, yakni Tuhan yang Maha Menciptakan.
Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman ayat 26-27 ;
Semua yang ada di bumi itu akan binasa, dan yang kekal hanyalah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.
Itulah hakikat sebenar dalam kehidupan kita yang sebenar-benarnya.
Harta, pangkat, kemegahan, kekayaan,kecantikan hatta kesakitan, kesedihan, dan apa jua bentuk perasaan pun, tetaplah kesemuanya ini bersifat sementara.
TIADA YANG KEKAL : BAGAIMANA RAMADAN MENGAJAR KITA
Lihatlah hari ini, tatkala kita sudah pun berada di ambang menyambut bulan syawal, ramadan yang dahulunya kita sambut dengan penuh keterujaan, akhirnya akan tamat dan akan ditinggalkan.
Ramadan mengajar kita tentang kesegeraan untuk beramal dalam satu tempoh masa yang singkat, tetapi penuh dengan makna dan ganjaran.
Hanya sebulan sahaja tempoh yang diberi, dan dalam detik waktu itu jugalah, beruntung bagi mereka yang berusaha untuk memperbaiki amal, menyusun disiplin amal, semata-mata untuk menjadi diri dengan versi yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan dirinya.” (Surah Al-A’la : 14)
Bahkan, tatkala mengejar kelebihan lailatul qadar, ia mendidik kita, bahawa setiap malam yang berlalu, sudah tidak ada peluang kedua selepasnya. Beruntunglah mereka yang betul-betul berusaha untuk mengisi masa sepuluh ramadan ini dengan sebaiknya.
Mudah-mudahan, pada hari-hari yang kita lalui, dapatlah kita gunakan sebaiknya untuk berbuat kebaikan, kerana yang ada untuk kita hari ini, belum tentu ada apabila tiba hari esok.
TIADA YANG KEKAL : HAKIKAT SEBENAR
Sebagai manusia, tidak salah untuk kita merancang. Tetapi, kita juga perlu akur bahawa hakikat sebenarnya, tiada satu hal pun akan kekal untuk selamanya.
Harta yang kita kumpul, sama ada ia akan hilang, berkurang atau akhirnya akan ditinggalkan apabila kita pulang menghadap Tuhan.
Kemegahan yang mungkin menjadi hiasan kehidupan hari ini, sampai masanya nanti, boleh jadi manusia akan melupakannya juga.
Tetapi, ada satu perkara yang akan dibawa untuk masa-masa yang akan datang, yakni ;
Amal kebaikan.
Setiap sujud kita yang tulus kerana merasakan diri terlalu kerdil di hadapan Allah SWT.
Setiap doa yang kita panjatkan untuk kesejahteraan orang lain, sedekah yang kita hulurkan, semuanya akan menjadi saksi kepada Allah SWT, bahawa kita percaya bahawa amal kebaikan lebih mahal harganya daripada segala yang ada di dunia dan isinya.
PENUTUP : JUJURLAH PADA DIRI
Dalam setiap tadahan tangan kita kepada Tuhan, berkatalah sejujurnya bahawa kita dan semua yang kita ada akan ada tempoh tamatnya.
Di situ akan mendidik kita, bahawa dunia memang begitu sifatnya, yakni sementara.
Tidak mengapa jika kita tidak beroleh perkara yang sama seperti orang lain, kerana kita tahu apa yang lebih penting di dunia ini.
Jujurlah untuk belajar melepaskan hal-hal berkaitan dunia yang mungkin menyakitkan hati, meresahkan perasaan, kerana akhirnya, semua itu tidak akan berkekalan.
Bukankah ramadan telah mengajarkan kita bahawa dia juga akan pergi, tatkala kita merasa sayu untuk melambai tangan padanya?
Letaklah sandaran harapan sepenuhnya kepada Allah SWT.
Dialah satu-satunya yang akan kekal buat selama-lamanya.