6/15 SIRI RAMADAN : BAGAIMANA OBOR RAMADAN KALIAN?
PEMBUKA KATA : KITA DI FASA PERTENGAHAN
Ritma ramadan yang dilalui pada awal bulan yang mulia ini sudah pun kita nikmati.
Penulis percaya ramai dalam kalangan pembaca teruja dan amat menunggu-nunggu gerbang bulan yang mulia ini terbuka, 11 hari yang lalu.
Kini, tubuh kita mula terbiasa bagi menahan lapar dan dahaga. Cuma, persoalannya, bagaimana obor kerohanian kita. Adakah ianya masih marak menyala, atau sebaliknya?
MENYALAKAN SEMULA OBOR HARAPAN
Mengapa obor ramadan ini perlu dianggap sebagai satu harapan? Kerana segala hal yang baik di bulan ini akan diganjari dengan pahala berlipat ganda.
Suasana ibadah di bulan ini juga amat berbeza denga bulan-bulan yang lain.
Justeru inilah masanya untuk kita disiplinkan diri, membentuk kebiasaan berbuat amal yang lebih baik, supaya di waktu yang lain, bara itu masih ada, sebagai bekal untuk membakar semangat di jiwa.
Maka, obor harapan ini perlu untuk sentiasa dipelihara. Berharap agar ia tidak terpadam dengan pelbagai mehnah dunia.
Bukanlah segala hal dunia ini perlu diketepikan, tetapi ambillah ia untuk diuruskan dengan penuh kebijaksanaan.
MENERANGI LALUAN MENCARI MALAM YANG LEBIH BAIK DARI 1000 BULAN
Sepuluh malam pertengahan ini, perlu menjadi persediaan yang ampuh untuk kita pelihara dan bina nyalaan obor yang lebih besar, agar jalan mencari lailatul qadar itu lebih terang untuk dilalui.
Masih ingat bagaimana kita dinasihatkan untuk bersedia dengan latihan puasa, bacaan alquran di bulan rejab yang lalu?
Begitulah sepanjang waktu pertengahan bulan ramadan ini. Ianya perlu juga menjadi persediaan untuk kita biasa dengan amal-amal bagi mengejar kelebihan malam yang lebih baik dari seribu bulan.
PENUTUP : USAH BIARKAN OBOR ITU TERPADAM
Obor yang tidak dipelihara pada awal nyalaannya, begitu mudah untuk terpadam.
Ramadan akan terus berjalan.
Tanpa menunggu kesibukan kita.
Tanpa menunggu kestabilan emosi kita.
Tanpa menunggu bila kah kita akan betul-betul bersedia.
Pada masa akan datang, kita sendiri akur, entah masih ada lagi atau tidak untuk kita rasai dan nikmati sekali lagi keindahan ramadan ini.
Oleh itu, peliharalah nyalaan obor ramadan ini.
Usah biar ia hanya tinggal kepulan asap penyesalan apabila berakhirnya bulan ini nanti.
