8/15 SIRI RAMADAN : BAGAIMANA RAMADAN KALI INI MENGAJAR ERTI CUKUP
PEMBUKA KATA
Berada dalam rutin harian yang sama, kadangkala membuatkan kita merasakan ada sahaja yang tidak cukup.
Barangkali, kerana ada ketika kita terlalu mengejar sesuatu yang pada hemat diri sendiri, ianya mesti dimiliki.
Hakikatnya, kehidupan orang di sekeliling kita sendiri sudah memadai untuk mengajarkan kepada kita bahawa, apa yang kita ada pada hari ini, sudah jauh lebih apa yang kita perlukan.
Dunia ini, akan terasa lebih bermakna, bahagia tatkala kita sedar, ianya bukan betapa banyak yang kita miliki, tetapi rasa cukup yang memenuhi ruang hati.
RASA CUKUP : MEMAKNAI RAMADAN
Beberapa hari yang lalu, penulis begitu terkesan melihat nasib dua orang remaja yang kehilangan ibu, ayah dan tiga orang adik beradik dalam satu tragedi kebakaran.
Hanya beberapa jam, dalam satu malam, melenyapkan kebahagiaan yang mereka miliki selama ini.
Bagaimana mereka berdua hendak melalui baki ramadan yang masih ada? Bukan mudah untuk membebat duka dan luka kehilangan begitu sahaja.
Baru-baru ini juga, ada seorang pemuda yang berjaya mendapat hadiah percuma baju raya. Bukan soal jenama atau warna, tetapi kata-kata beliau yang penuh makna ;
“Saya dah empat tahun tak beli baju raya.” Lalu pemuda itu menyeka air matanya.
Dua peristiwa ini, menunjukkan bahawa, sebenarnya ada sahaja insan lain yang jauh sukar dan mencabar kehidupannya.
Tinggal kita sahaja, yang mungkin terlalu sibuk, mengukur kekurangan pada kehidupan, sedangkan apa yang ada cukup elok dinikmati.
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” (Surah Ibrahim: 34)
RAMADAN & KESEDERHANAAN
Kadangkala, juadah yang terhidang untuk berbuka begitu banyak jenis dan pilihannya. Tetapi, sedar tak, mengambil dalam kuantiti yang sedikit pun sebenarnya sudah memadai.
Bahkan, ibadah juga terasa lebih selesa untuk dinikmati.
Disinilah hal kecil yang boleh kita ambil pengajaran daripada ramadan, bahawa kehidupan tidak semestinya dipenuhi dengan apa yang kita inginkan.
PENUTUP : CUKUP MELAHIRKAN KETENANGAN
Merasa cukup membuatkan kita tidak berlumba-lumba.
Perasaan cukup dalam segenap hal juga membuatkan yang tidak ada kita redhai, yang ada pula kita syukuri.
Akhirnya, ketenangan yang akan membaluti hati.
Percayalah, ketenangan dan kebahagiaan akan lebih kita nikmati di bulan penuh barakah ini, apabila kita percaya Tuhan pasti sentiasa ada untuk mencukupkan keperluan kita, selama mana kita syukuri setiap pemberiannya.
Ayuh, ramadan kini sudah di separuh masa kedua!
