9/15 SIRI RAMADAN : ANDAI INI BEKAL YANG TERAKHIR

 


PEMBUKA KATA : KITA SEMAKIN DI PENGHUJUNG

Hari-hari yang kita lalui dalam ramadan, terasa begitu cepat berlalu. Seakan baru semalam kita bersedia untuk menyambutnya dengan penuh teruja.

Kini, kita semakin dekat dengan garisan sepuluh malam terakhir. Sepuluh malam yang di dalamnya ada janji Tuhan, sebagai hadiah buat hamba-Nya yang mengejar pahala dan syurga.

Malam-malam terakhir ini, penulis ingin mengajak diri sendiri dan rakan pembaca sekalian, untuk kita menginsafi bahawa barangkali inilah saat-saat akhir kita bersama ramadan yang mulia. Tahun akan datang, tiada siapa pun dalam kalangan kita dapat menjamin, untuk sekali lagi menikmati bulan penuh ketenangan ini.

Di sepuluh malam terakhir ini, mari kita rancang ia dengan sebaik-baiknya !


BEKAL UNTUK PERJALANAN YANG LEBIH JAUH

Perjalanan dalam bulan ini mungkin mengambil masa sebulan sahaja, tetapi bekalan yang akan kita bawa bermula syawal kelak adalah menghampiri sebelas bulan lamanya. 

Ianya sebuah perjalanan yang panjang. Merangkumi kesibukan dalam bekerja, berkeluarga, menghadapi cabaran demi cabaran dalam kehidupan. Pastinya, suasana yang akan kita rasai, tidak sama seperti dalam bulan ramadan ini.

Justeru, sepuluh malam terakhir ini, adalah ruang untuk kita meneruskan langkahan bagi menyediakan bekalan secukupnya bagi menghadapi sebuah perjalanan yang lebih panjang.

Dan bekalan yang Tuhan firmanakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183, adalah ketakwaan ;

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa."

Proses menyediakan bekal seumpama ini bukan hanya sehari dua, ianya perlu bermula dengan amalan yang walaupun kecil, tetapi berterusan, disulami dengan niat yang murni, semata-mata kerana Allah SWT.

Demi sebuah perjalanan yang panjang, sediakanlah bekalan yang terbaik buat kalian.

MERANGKA STRATEGI BERTEMU LAILATUL QADAR

Dalam surah yang dikhususkan untuk Lailatul Qadar, Allah SWT berfirman bahawa malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan.

Malah, malam itu tidak akan kita temui dalam bulan-bulan yang lain, selain ramadan.

Maka, demi memastikan kita tidak menjadi golongan yang rugi, rancang dan susunlah strategi bagaimana hendak kita perolehi kelebihan yang besar lagi istimewa.

Mungkin dalam setiap malam pada malam terakhir nanti, kita pastikan solat isya berjemaah, solat sunat  terawih, solat sunat witir dan membaca alquran mengikut kemampuan masing-masing.

Lailatul Qadar tidaklah dicari pada sepertiga malam terakhir sahaja. Bahkan merangkumi sepanjang malam. Bermula dari masuknya waktu maghrib, sehinggalah waktu subuh menjelma.

Maka, susunlah perancangan kita dengan niat memperoleh kelebihan yang dijanjikan Ar-Rahman.


PENUTUP : SUJUD PENUH JUJUR

Perjalanan di penghujung ini benar-benar perlu kita insafi.

Menginsafi bahawa ianya mungkin yang terakhir kalinya.

Menginsafi bahawa bulan ramadan ini amat istimewa.

Ketenangannya, suasananya.

Ia pasti akan dirindui dan tidak akan pernah sama dengan bulan selainnya.

Sebelum tirai ini ditutup, marilah kita nikmati dan hargainya.

Sujudlah penuh jujur.

Berdoalah dengan rasa akur.

Andai ini bekal terakhir.