15/15 SIRI RAMADAN : MARI KITA BERLABUH (PENUTUP)
Bahtera Nabi Nuh berlayar bersama hanya sekumpulan kecil pengikut baginda, sedangkan Nabu Nuh sudah mengajak kaumnya untuk kembali kepada Tuhan, ratusan tahun lamanya.
Apa yang boleh kita pelajari? Tatkala hidayah itu Tuhan titipkan, kitalah yang perlu menyahutnya.
Jika tidak, boleh jadi kita dibiarkan lemas oleh kejamnya ombak dunia.
Justeru, perkongsian terakhir ini, penulis ingin mengajak para pembaca untuk berlabuh seketika, menginsafi sejenak, setelah kita mengharungi samudera ramadan selama sebulan.
MELIHAT APA YANG TELAH KITA BAWA
Sepanjang pelayaran ini, lihatlah, adakah kita sekadar membawa lapar dan dahaga semata-mata?
Ataupun kita membawa pulang hati yang lebih lapang, fikiran yang lebih tenang dan ikatan lebih rapat bersama Tuhan.
Pada akhirnya, pelayaran ini bukan sahaja tentang apa yang telah kita tinggalkan, tetapi bekalan untuk meneruskan perjalanan tatkala kita berlabuh di pelabuhan.
Perjalanan selepas ini pasti akan lebih mencabar. Jika samudera ramadan yang kita lalui cukup tenang, pelayaran seterusnya pasti akan ada ujian demi ujian.
Sebab itulah, firman Allah SWT, mengajak kita melalui ramadan ini dengan berpuasa agar akhirnya kita membawa satu bekalan yang akan dibawa selepasnya, yakni ketakwaan.
MELIHAT KEKURANGAN SEBAGAI KEKUATAN
Jika kita telah berusaha untuk memaknai pelayaran ramadan kali ini, tetapi masih terdapat banyak kelemahan dan kekangan, tidak mengapa. Kerana apa yang penting, kita telah usahakan smemapunya, mengikut kapasiti kita.
Ada yang sepanjang pelayaran diuji dengan kesibukan, masalah kesihatan, komitmen keluarga dan bermacam lagi.
Tetapi, jika kita telah usahakan untuk menghargai pelayaran ini, pasti Allah SWT tidak akan sia-siakan.
Jadikanlah setiap pengorbanan kita sepanjang bulan ramadan ini sebagai kekuatan untuk kita menjadi hamba yang lebih baik pada bulan-bula mendatang.
Jika kita banyak tersilap dan tersalah, Tuhan sentiasa ada untuk memberi maaf dengan sekali ucapan taubat dari hati yang ikhlas.
Justeru, kekurangan itu, bawalah untuk berlabuh bersama bagi kita baiki pada hari-hari yang seterusnya.
PENUTUP : BERLABUH DAN PELAYARAN SEMULA
Pelayaran ini akhirnya sudahpun tiba di garisan penamat.
Berlabuh di pelabuhan syawal, sebelum memulakan semula pelayaran.
Berlabuh untuk kali ini bukanlah bermakna kita berhenti selamanya.
Tetapi sebuah tempat untuk kita memulakan pelayaran semula.
Nilailah diri kita sepanjang pelayaran sebelum ini,
Adakah kita bersedia untuk berlayar semula di lautan yang dipenuhi 1001 gelora ujian dunia?
Selamat hari raya Aidilfitri buat semua pembaca.
